19.02.2021
Kategori: 2021, industry, investors, people

MDEC Beri Sokongan Padu Untuk Jayakan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, MyDIGITAL

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyatakan komitmen jitu untuk menyokong pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, MyDIGITAL, yang merupakan pemacu utama kepada pembangunan dan kejayaan negara.

MyDIGITAL bertujuan untuk menyediakan kerangka bagi melaksanakan transformasi digital Malaysia dan seterusnya mencapai Visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menikmati kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi yang adil untuk negara. Inisiatif ini menekankan pendekatan manusia secara berpusat dan dihubungkan dengan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, memelihara nilai-nilai manusia dan warisan budaya.

Ekonomi digital dijangka terus memberikan sumbangan penting kepada negara tahun ini berdasarkan jangkaan sumbangan sebanyak 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) pada 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia manakala Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 6.7 peratus.

Sehubungan dengan itu, MDEC dengan sokongan padu KKMM akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan Malaysia 5.0.

Berpandukan tiga teras utama iaitu menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital , MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

Visi MDEC mengenai Malaysia 5.0 akan melengkapkan Rangka Tindakan MyDIGITAL yang holistik untuk mendorong pembentukan masyarakat yang sangat terintegrasi dengan teknologi, yang ditadbir secara praktik, inklusif dan adil berdasarkan amalan prinsip eco-persekitaran. Tiga komponen utama Malaysia 5.0 adalah seperti berikut:

  • Pertama, menanamkan falsafah identiti teras baharu yang mengatasi kepentingan individu dan masyarakat serta menjunjung tinggi nilai kemakmuran bersama.
  • Kedua, menggunapakai, menambah nilai dan menghasilkan transformasi digital dan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang berpusat pada penyelesaian masalah eko-persekitaran.
  • Ketiga, melahirkan warganegara yang mempunyai kedudukan yang baik dan berdaya maju untuk menghadapi, menavigasi dan berkembang dalam IR4.0

Menerusi perspektif kemahiran dan pekerjaan digital, MDEC telah mempercepat usaha untuk mengembangkan keupayaan digital di kalangan rakyat Malaysia. Inisiatif seperti ‘Let’s Learn Digital’ diteruskan untuk meningkatkan dan menambah kemahiran baharu di kalangan rakyat Malaysia. Setakat ini lebih daripada 3,800 kursus percuma telah ditawarkan dan menerima lebih 21,000 permohonan. Inisiatif MyDigitalmaker pula telah memanfaatkan kira-kira 2.1 juta pelajar sekolah di seluruh negara.

Setiap tahun, Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI) MDEC secara purata menghasilkan seramai 7,800 graduan dengan purata kadar kebolehpekerjaan siswazah mencapai 95% pada 2018 dan 2019. Selain itu, lebih 240 pensyarah telah melibatkan diri dengan teknologi industri terkini melalui perkongsian ekosistem. MDEC juga mendapati lebih daripada 25 000 pelajar telah mendaftar dalam kursus teknologi digital pada 2019 iaitu peningkatan 40 peratus ketika inisiatif diperkenalkan pada 2017.

Dalam usaha untuk pendigitalan dan mengautomasikan perniagaan, MDEC telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk 100GoDigital, SME Digital Accelerator, Geran Automasi Pintar dan SME Digital Quickwins untuk memastikan perniagaan kecil dilengkapi kemahiran mencukupi untuk menerima manfaat dan berdepan cabaran ekonomi digital.

Sehingga kini, 335,834 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah memasuki pasaran e-dagang . MDEC akan terus meningkatkan jangkauan program ini. Saya bersyukur kerana inisiatif PKS yang dilaksanakan telah menarik banyak rakan kongsi seperti syarikat telekomunikasi dan bank untuk bersama-sama menyokong PKS dan usahawan dalam perjalanan digitalisasi mereka.

Mengenai pelaburan digital, Malaysia telah menarik pelaburan RM345 bilion pada Disember 2019 dan mewujudkan hampir 185,000 pekerjaan. Pada tahun lepas, pelaburan baharu berjumlah RM3.92 bilion dan mencipta kira-kira 9,000 peluang pekerjaan.

Saya percaya Malaysia telah memperoleh apa yang diperlukan dan MDEC akan memberikan segalanya untuk menjayakan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, MyDIGITAL iaitu jalan untuk bergerak ke hadapan bagi mewujudkan kemakmuran bersama bagi semua rakyat Malaysia selaras dengan visi Malaysia 5.0.

TAMAT

Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff,
Pengerusi,
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]