19.07.2021
Kategori: 2021, Digital Investments Future5 (DIF5) Strategy, industry, investors, mdec

MDEC Melangkah ke Hadapan Dengan Lancarkan Strategi Pelaburan Future5

  • Pelan strategik lima tahun sejajar dengan objektif MyDIGITAL untuk menarik pelaburan RM70 bilion menjelang 2025
  • Bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN

CYBERJAYA, 19 JULAI 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama dalam memacu transformasi ekonomi digital negara hari ini mengumumkan Strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5) iaitu rancangan lima tahun yang memfokuskan kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Inisiatif yang bermula pada tahun ini sehingga 2025 dirangka berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan menyasarkan untuk menarik pelaburan digital berkualiti tinggi mencecah RM50 bilion bagi memacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital. Secara kumulatif, MDEC telah membawa masuk pelaburan bernilai RM345 bilion melalui Koridor Raya Multimedia (MSC) sejak 1996 yang mana telah mewujudkan 184 396 peluang pekerjaan dan membawa masuk 40 syarikat Forbes100 ke Malaysia.

“Kita memiliki segala kemampuan dan kemudahan yang diperlukan untuk mendorong ekonomi digital Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Menerusi DIF5, MDEC semakin bersinergi dengan usaha dan inisiatifnya untuk mendorong kemajuan negara ke arah mencapai sasaran MyDIGITAL,” kata Raymond Siva, Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Jenama, MDEC.

Strategi DIF5 menyasarkan;

  1. Pelaburan RM50 bilion.
  2. Mewujudkan 50 000 peluang pekerjaan dalam industri digital.
  3. Menarik 50 syarikat teknologi Fortune 500 untuk beroperasi di Malaysia.
  4. Membolehkan lima Unicorn global beroperasi di negara ini.
  5. Fokus pada lima sektor industri utama, lima teknologi utama, lima teknologi baharu muncul dan perkhidmatan perniagaan global digital.

Lima industri yang telah dikenal pasti sebagai pemacu utama adalah Teknologi Agrikultur, Teknologi Kesihatan, Ekonomi Digital Islam dan Teknologi Kewangan, Teknologi Pendidikan dan CleanTech. Kesemua industri ini diberi tumpuan untuk menjadi industri nasional yang strategik bagi pendigitalan. Ini seterusnya akan memberi kesan besar terhadap pelaburan, peluang pekerjaan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Lebih penting, saiz serta potensi yang dimiliki  akan berupaya untuk menarik syarikat-syarikat global utama sekaligus membolehkan Malaysia menikmati faedah dan keuntungan menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi tempatan dan pengetahuan yang dihasilkan.

Menarik dan mendorong pelaburan dalam lima teknologi fokus penting untuk memudahkan pertumbuhan sektor-sektor ini termasuk Cloud Computing, Pusat Data, Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber dan Peralatan Kandungan Digital.

Strategi DIF5 juga akan memfokuskan pada lima teknologi utama yang baharu muncul untuk mendorong inovasi dan memastikan Malaysia akan berada di barisan hadapan dalam penyediaan teknologi digital yang pesat dan pengembangan ekonomi digital serta bersedia untuk masa hadapan. Teknologi yang dimaksudkan termasuklah Blockchain, dron, Edge Computing, Extended Reality dan Robotik Termaju. Ini akan meningkatkan kepelbagaian ekonomi negara dan serta mengembangkan sektor ekonomi baharu dan sedia ada yang seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperluas hubungan ekonomi domestik. Ini sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Tambahan pula, teknologi ini berpotensi menjadi pengubah permainan masa depan apabila digabungkan dengan Inisiatif Tapak Ujian Global MDEC yang membolehkan Malaysia menjadi landasan ujian untuk pelaburan teknologi yang akan datang dan memupuk kerjasama dengan Institusi pendidikan tinggi dan Think-Tanks. Ini penting bagi mengembangkan keupayaan intelektual dan bakat tempatan dalam teknologi masa depan.

MDEC juga akan meningkatkan usaha untuk mengembangkan Perkhidmatan Perniagaan Digital dengan mendorong penggunaan automasi, proses robotik dan analisis data serta pengetahuan kejuruteraan. Lebih banyak pusat kepakaran akan ditubuhkan untuk membolehkan tenaga kerja melonjakkan nilai rantaian untuk membentuk generasi bakat teknologi yang seterusnya dengan mendorong evolusi pengalaman pelanggan dan kecekapan pekerja dalam ekonomi digital akan datang.

“Negara akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi digital dan pelaburan dalam sektor dinyatakan yang belum pernah dinikmati sebelum ini tetapi kita akan melaksanakannya dengan lebih berstruktur. Menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) yang merupakan platform kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan hari ini dengan melancarkan DIF5, MDEC telah meningkatkan usaha untuk menggerakkan ekonomi digital negara dengan lebih maju, ”kata Siva.

Menurut laporan e-Conomy Asia Tenggara 2019 oleh Google, Temasek Holdings dan perunding perniagaan global, Bain & Company, ASEAN dijangka akan menjadi pasaran pertumbuhan utama global dalam ekonomi. Malaysia menjadi pemimpin utama dalam ekonomi digital di rantau ini yang mempunyai lebih 650 juta penduduk. Ekonomi digitalnya dijangka mencecah nilai US $ 300 bilion menjelang 2025.

Ekonomi digital dijangka akan terus memberikan impak penting kepada negara pada tahun ini berdasarkan anggaran sumbangan 20 peratus kepada KDNK pada 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Bank Dunia pula meramalkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus.

MyDIGITAL turut menjangkakan sumbangan ekonomi digital sebanyak 22.6 peratus kepada KDNK menjelang 2025 serta membuka 500 000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

Pada tahun ini, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan baharu apabila Clarivate iaitu syarikat global terkemuka dalam penyediaan penyelesaian untuk mempercepat kitaran inovasi telah menubuhkan Pusat Perniagaan Globalnya di Pulau Pinang yang menyediakan antara 150 hingga 200 peluang pekerjaan baharu. Ini adalah syarikat berstatus MSC ke-100 dari United Kingdom. Di samping itu, Juwai IQI, sebuah syarikat teknologi hartanah global telah memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat untuk penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dengan melancarkan pusat data dan teknologi yang terdiri daripada 1,000 pekerja. Firma teknologi global yang mempunyai operasi di Malaysia seperti NTT, Hitachi Sunway Information Systems, transcosmos dan DKSH CSSC terus menunjukkan komitmen pelaburan semula di Malaysia.

Memiliki kumpulan bakat yang berkemampuan bertutur dalam pelbagai  bahasa dan kemahiran digital, kemudahan infrastruktur sedia ada dan ekosistem yang matang untuk ekonomi digital berkembang, Strategi DIF5 MDEC ini berperanan untuk memimpin Malaysia menjadi negara digital yang berdaya saing di peringkat global, berdasarkan inklusif, kelestarian dan kemakmuran bersama serta dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

MDEC juga akan meneruskan penganjuran edisi kedua Bulan Teknologi Malaysia (MTM) pada 29 Julai ini. MTM adalah acara selama sebulan untuk mengetengahkan ucaptama digital dan teknologi, bengkel, panel perbincangan dan sesi padanan perniagaan. Ia akan menampilkan kumpulan penceramah dan pelabur industri tempatan dan antarabangsa yang terkenal untuk berkongsi idea dan kepakaran dalam ekonomi digital yang didorong oleh Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Bahagian Pelaburan Digital MDEC akan melaksanakan beberapa acara selama seminggu di MTM. Sekiranya berminat untuk mengambil bahagian , sila layari https://mdec.my/mtm2021

Muat Turun PDF

#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC
Malaysia Digital Economy Corporation  (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC membawa agenda Malaysia 5.0, membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan saksama kepada rakyat dan perniagaan.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. MDEC mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing tinggi dari segi digital di peringkat global, berpandukan inklusif, kelestarian, dan kemakmuran bersama dan menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #MHODA #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut melalui inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran –  [email protected]
Simon Yap – [email protected]