19.05.2022
Kategori: industry, investors, people

MDEC LANCAR GERAN TEKNOLOGI GLOBAL DAN GERAN PEMANGKIN 4IR

CYBERJAYA, 19 Mei 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, mengalu-alukan permohonan untuk Geran Teknologi Global (GTG) dan Geran Pemangkin 4IR (4ICG) edisi 2022.

GTG menyediakan akses pembiayaan untuk penyelidikan atau inovasi, pembangunan dan mengkomersialkan produk atau perkhidmatan komersial berinovatif kepada pemohon, manakala 4ICG membantu penyedia teknologi penyelesaian dalam mencipta, menyelesaikan masalah, menginovasi dan melaksanakan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam perkongsian dengan pengguna akhir. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz telah tiba masanya untuk syarikat teknologi meneruskan agenda digital mereka kerana pasaran global kini sedang menantikan penyelesaian bagi merapatkan jurang digital.

“Justeru, Program Geran Teknologi MDEC menawarkan Geran GTG dan 4ICG dengan menyediakan syarikat teknologi pembiayaan yang diperlukan untuk terus berkembang dengan produk dan perkhidmatan mereka selain melahirkan juara teknologi, memacu pelaburan dan memangkinkan inovasi ekosistem digital,” tambah Mahadhir.

“MDEC yakin inovasi terbaik akan diperoleh daripada pemohon geran berkenaan dan kami akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif bagi memacu Malaysia ke hadapan untuk menjadi hab digital pilihan,” katanya lagi.

GTG terbuka kepada syarikat teknologi atau syarikat pemula yang telah bersedia untuk menerokai pasaran global pertamanya atau mahu mengembangkan kedudukan global sedia ada dengan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan seterusnya, dengan tempoh projek tidak melebihi daripada dua tahun.

Pemohon boleh terdiri daripada syarikat milik tempatan dan syarikat milik warga asing. Pemohon syarikat milik tempatan yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 50 peratus daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah, manakala untuk pemohon syarikat milik warga asing yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 30 peratus daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah.

GTG juga terbuka kepada syarikat teknologi asing yang merancang untuk membuka Pusat Kecemerlangan di Malaysia, yang memberi fokus kepada aktiviti inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai tinggi.

Pemohon juga layak menerima sehingga 30 peratus daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah.

Sementara itu, 4ICG direka untuk memangkinkan penggunaan dan pembangunan teknologi 4IR ke dalam vertikal perniagaan utama seperti yang ditetapkan di dalam Dasar 4IR Nasional.

Geran berkenaan juga akan digunakan hanya untuk tujuan penciptaan bersama, penyelesaian masalah dan mengkomersialkan penyelesaian 4IR dengan tempoh projek selama setahun.

Pemohon 4ICG boleh terdiri daripada penyedia penyelesaian teknologi dan harus menunjukkan bahawa mereka telah memperoleh komitmen pengguna akhir untuk membiayai bahagian mereka daripada kos projek semasa permohonan.

Pemohon 4ICG juga boleh terdiri daripada syarikat milik tempatan dan syarikat milik warga asing. Pemohon syarikat milik tempatan yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 50 peratus daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah, manakala untuk pemohon syarikat milik warga asing yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 30 peratus daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah.

Antara sektor utama untuk pemohon 4ICG ialah pergudangan dan perdagangan runcit, pengangkutan dan logistik, pelancongan, kewangan dan insurans, utiliti, profesional, perkhidmatan teknikal, kesihatan, pendidikan, pertanian dan pembuatan.

Penyelesaian yang dicadangkan kepada pengguna akhir mesti dibangunkan berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet untuk Segalanya (IoT), blok rantai, pengkomputeran awan dan analisis data raya.

Pada tahun 2021, sebanyak 12 syarikat telah mendapat kelulusan untuk geran-geran tersebut.

Permohonan untuk GTG dan 4ICG kini dibuka sehingga 30 Jun 2022 dan syarikat yang layak boleh memohon salah satu daripada geran berkenaan berdasarkan cadangan projek mereka.

Syarikat yang berjaya ditawarkan geran tersebut akan diumumkan dalam tempoh dua bulan selepas tarikh tutup permohonan.

Maklumat lanjut berkenaan syarat, kelayakan dan tempoh masa, sila layari https://mdec.my/gtg dan https://mdec.my/4icg.

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)