12.04.2021
Kategori: #SayaDigital, 2021, people

MDEC melancarkan Gerakan #SayaDigital percepat pendigitalan di seluruh negara dan jayakan agenda MyDIGITAL

  • Gerakan #SayaDigital bertujuan meningkatkan kadar celik digital dalam kalangan rakyat golongan B40, belia, warga emas dan kumpulan rentan sosio ekonomi di 12 lokasi di seluruh negara
  • #SayaDigital menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menyasarkan untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digita menjelang 2030 dan seterusnya menyumbang sebanyak 22.6% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2025

Kuala Lumpur, 12 April 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini melancarkan Gerakan #SayaDigital peringkat kebangsaan bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang. Gerakan #SayaDigital diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia bagi merebut peluang dalam ekonomi digital dan bergerak seiring dengan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang berlangsung. Inisiatif ini juga sebagai sokongan padu kepada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri , Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin, pada Februari lepas.

MDEC melaksanakan program ini dengan mendapat sokongan padu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Pusat Internet Komuniti dan Desa dengan memberi fokus kepada empat tema utama iaitu Digital Memudahkan Kehidupan, Digital Menambah Pendapatan, Digital Memperkasa Kerjaya dan Digital Meluaskan Perniagaan. Program yang dirangka adalah menyasarkan penglibatan golongan B40, belia dan warga emas. Sebagai momentum menjelang pelancaran #SayaDigital pada hari ini, tiga program rintis fizikal telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran celik digital yang melibatkan penyertaan seramai 301 peserta dengan yang terbaharu diadakan di Kampung Desa Temuan di Bukit Lanjan pada hujung Mac lalu. Mereka menghadiri bengkel interaktif yang mendedahkan peserta dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dalam normal baharu.

Gerakan #SayaDigital pada tahun ini memberi fokus kepada empat komponen iaitu melatih anak muda menjadi sukarelawan Geng #SayaDigital, mewujudkan kesedaran melalui aktiviti literasi digital, menjalankan penilaian kesediaan digital dan memberi latihan kemahiran asas digital kepada komuniti. Seramai 25 orang Geng #SayaDigital telah dilantik bagi melatih peserta-peserta dengan kemahiran asas digital. Gerakan #SayaDigital telah bergerak ke seluruh negara. Kempen ini secara keseluruhan menyasarkan untuk memanfaatkan 10,000 rakyat di kawasan sosio ekonomi rentan di seluruh negara.

Sementara itu, peserta yang telah berdaftar secara dalam talian telah dihubungkan dengan programprogram utama MDEC seperti eUsahawan, PeDAS, eRezeki, MyDigitalMaker, GLOW dan eBerkat. Secara keseluruhannya, program-program kendalian MDEC ini telah memanfaatkan Malaysia menerusi pemantapan kemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital, penglibatan di sektor edagang dan penyertaan tenaga kerja di platform digital global. Selain itu, sehingga kini terdapat lapan program #SayaDigital dalam talian yang telah dijalankan menerusi Facebook Live dan mendapat lebih
daripada 16,000 tontonan.

“Mengikut laporan Indeks Daya Saing Digital Dunia 2020, Malaysia berada pada kedudukan 26 dan kedua terbaik di kalangan negara ASEAN manakala Forum Ekonomi Dunia (WEF) pula telah meletakkan negara kita di posisi ke – 34 dalam Laporan Kesediaan Rangkaian Dunia 2020. Pencapaian ini sudah pasti memberi nilai tambah dan suntikan semangat kepada kerajaan dan rakyat untuk bersama – sama membentuk satu pasukan mantap yang saling menyokong bagi menjayakan MyDIGITAL. Bagaimanapun, kita tidak harus cepat berpuas hati kerana usaha dan inisiatif berterusan perlu dilaksanakan memandangkan sektor teknologi digital pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) ini pantas berubah pada setiap hari. Sehubungan itu, langkah MDEC melancarkan #SayaDigital ini untuk meningkatkan kemahiran digital di kalangan rakyat B40, belia, warga emas dan kumpulan rentan sosio ekonomi tepat pada masanya ketika negara kita berusaha mencapai cita – cita menjadi pasaran utama ekonomi digital serantau dan senada dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WBK 2030) yang tidak akan meminggirkan mana – mana golongan rakyat,” kata Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin.

“#SayaDigital menyokong strategi menyeluruh MyDIGITAL yang menyusun pelan hala tuju untuk mencapai visi menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital menjelang 2030. Menerusinya, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan, menerapkan ciri digital untuk 875,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro dan seterusnya menjadi pemangkin untuk 5,000 syarikat pemula. Sehubungan itu, #SayaDigital yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini menunjukkan komitmen jelas kerajaan untuk melibatkan rakyat pelbagai golongan supaya mereka mendapat manfaat daripada ekonomi digital yang mekar berkembang selaras dengan WKB 2030,” kata YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

MDEC telah merangka 12 program adaptasi dan celik digital dengan 2,000 peserta dijangka akan menyertai kursus latihan asas celik digital yang mana turut melibatkan 100 sukarelawan atau duta Geng #SayaDigital. Peserta akan menjawab Penilaian Kesediaan Digital untuk mengukur tahap literasi digital dan keputusan ujian berkenaan akan menentukan peringkat Modul Pembelajaran Literasi Digital Asas yang perlu dipelajari. Program ini merangkumi tiga modul utama iaitu komunikasi digital, perbankan internet dan e-dompet dan aplikasi perkhidmatan digital yang turut digunakan negara lain.

“Matlamat yang digariskan dalam MyDIGITAL adalah berasaskan keyakinan bahawa kita boleh memperkasakan rakyat berdepan cabaran dunia digital dalam norma baharu menerusi masyarakatnya yang terintegrasi dengan teknologi digital menerusi Malaysia 5.0. Mewujudkan rakyat dengan keupayaan digital menjadi faktor utama bagi sinergi antara infrastruktur digital dan tenaga kerja berkemahiran digital yang menjadi tulang belakang kepada ekosistem digital yang mapan di Malaysia. Kelebihan ini seterusnya akan menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi digital pada masa akan datang,” kata YBhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

“Individu dengan kemahiran digital yang cekap seperti pengekodan, animasi, analisis data raya, pembelajaran mesin dan pengkomputeran awan sangat diperlukan dalam memacu ekonomi digital perubahan berikutan pandemik. Mengikut kajian terbaharu MDEC, ketika ini terdapat 47,000 peluang pekerjaan digital diiklankan di portal – portal mencari kerja utama di Malaysia. Ini menunjukkan pasaran kerja berkemahiran digital negara kekal kompetetif pada waktu yang mencabar ini sekaligus memberi petanda pertumbuhan ekonomi digital negara. Sehubungan itu, langkah MDEC menerusi #SayaDigital tepat pada masanya dalam usaha melibatkan lebih ramai rakyat mempelajari kemahiran digital. Inisiatif memperkasa rakyat Malaysia sangat penting untuk perjalanan digital mereka dan kita semakin hampir untuk mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Kempen #SayaDigital telah dimulakan pada tahun lepas sebagai usaha MDEC untuk membantu rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan untuk meningkatkan langkah pendigitalan bagi mengurangkan impak sosioekonomi akibat pandemik. Melalui kempen ini, MDEC telah memperkenalkan beberapa usaha seperti Sidang Kemuncak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro, #YoungCreators, Minggu #MYDigitalWorkforce dan Ekspo Gig and Freelance (GFX) sebagai langkah membina kapasiti bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran masing-masing serta untuk individu muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Dengan memanfaatkan rangkaian pakar dan syarikat antarabangsa MDEC yang luas termasuk Alibaba, Google, Tencent, Exabytes, Maxis dan Digi, para peserta berpeluang mendapat nasihat dan alat yang terbaik daripada peneraju industri terkemuka untuk membantu mereka dalam meneroka perjalanan digital masing-masing.

Maklumat lanjut tentang #SayaDigital boleh didapati di sini: https://mdec.my/sayadigital

Muat Turun PDF

– Tamat –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke
hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia,
mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital,
perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan
pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan
Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari
www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan, sila hubungi :
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]