10.05.2022
Kategori: industry, people

MDEC LANCAR DIGITAL CONTENT CREATORS CHALLENGE (DC3)

CYBERJAYA, 10 Mei 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia melancarkan Digital Content Creators Challenge (DC3) untuk tahun 2022.

DC3 yang telah diperkenalkan sejak 2006, merupakan platform oleh MDEC, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang menyediakan pembiayaan awal bagi pembangunan kandungan kreatif untuk mencipta portfolio atau harta intelek (IP).

Platform ini diyakini boleh digunakan untuk menarik perhatian pelabur, sektor penyiaran dan penerbit bagi mendapatkan pembiayaan selanjutnya.

Sepanjang penganjuran pertandingan tersebut, MDEC telah membiayai sebanyak 360 projek dan menyerahkan hadiah wang tunai bernilai RM15.3 juta kepada pemenang.

DC3 merupakan program berasaskan pertandingan yang diusahakan untuk membantu pencipta kandungan bagi membangun dan menghasilkan kandungan digital berkualiti tinggi serta meningkatkan penciptaan IP, selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang ditetapkan untuk menghasilkan 200 IP menjelang 2025.

Pemenang DC3 2022 akan menerima hadiah wang tunai untuk membangunkan kandungan digital yang dicadangkan oleh mereka dengan sokongan daripada pakar industri menerusi program mentor, yang menyediakan pemangkin diperlukan oleh bakat tempatan untuk menerokai pasaran tempatan dan global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz pemenang terdahulu telah memenangi anugerah di pentas global dan MDEC menyediakan platform yang diperlukan kepada pembangun kandungan untuk membangun, mempamer dan memasarkan kandungan digital mereka di peringkat serantau dan global.

“Justeru, MDEC optimis peserta pada tahun ini juga akan membawa idea baharu yang hebat sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia bagi industri kandungan kreatif,” katanya lagi.

Program DC3 ini terbuka kepada syarikat pembangun kandungan digital dan terbahagi kepada tiga skop projek iaitu komik digital, animasi dan permainan digital.

 

Di bawah kategori komik, pemenang akan menerima wang tunai sehingga RM25,000 dan mempunyai tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan projek berkenaan.

Manakala, pemenang kategori animasi akan menerima wang tunai sehingga RM100,000.00 dan mempunyai tempoh selama lapan bulan untuk menyiapkan projek berkenaan, sementara pengeluar permainan digital pula, bakal menerima hadiah sehingga RM100,000 dan mempunyai tempoh selama sepuluh bulan untuk menyiapkan projek mereka.

Antara pemenang DC3 sebelum ini termasuklah Batik Girl oleh R&D Studio yang telah berjaya memenangi anugerah antarabangsa iaitu menjadi pemenang kategori Filem Pendek Animasi di 5th Festival de Largos y Cortos de Santiago Chile dan Filem Pendek Animasi Terbaik di 27th South Cinematographic Academy Film & Arts, Chile pada tahun 2019.

Pillar of Strength ciptaan Creatvtoon Studio pula baru-baru ini telah memenangi anugerah Animasi Terbaik di Couch Film Festival, Toronto di Kanada dan Animasi Terbaik di Cinematic European Film Festival, Romania pada tahun 2022.

Selain itu, Rhythm Doctor oleh 7th Beat Games telah memenangi Bunyi Terbaik di festival Brazil Independent Games dan Pemenang Audio di Big Festival pada tahun 2018.

Permohonan untuk DC3 kini dibuka sehingga 15 Jun 2022 dan maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://mdec.my/DC3.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)