27.08.2021
Kategori: 2021, industry, mdec, people, SAG Grant, Smart Automation Grant

MDEC Lancar Geran Automasi Pintar 2021

  • Geran padanan ini membantu syarikat perkhidmatan mengautomasikan proses perniagaan dan menuju ke arah pendigitalan
  • Permohonan yang berjaya akan menerima sehingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek, tertakluk kepada had siling sebanyak RM200,000

CYBERJAYA, 27 OGOS 2021: Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), agensi utama yang menerajui agenda transformasi digital negara, telah mengumumkan Geran Automasi Pintar (SAG) edisi 2021 dan ianya telah dibuka untuk permohonan.

SAG adalah geran padanan untuk membantu syarikat perkhidmatan mengautomasikan proses perniagaan dan menuju ke arah pendigitalan. Ini merupakan proses penting yang diperlukan untuk berhadapan dengan cabaran COVID-19 dan pengganggu digital dunia.

Geran berkenaan membantu memulakan pembangunan dan pelaksanaan projek yang mengadaptasi teknologi untuk mengautomasikan operasi perniagaan. Setiap permohonan yang berjaya akan menerima sehingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek, tertakluk kepada had siling sebanyak RM200,000 (atau mana yang terendah).

Oleh kerana ia adalah geran padanan, pemohon yang berjaya perlu melabur bakinya iaitu sebanyak 50 peratus. SAG berfungsi sebagai geran berasaskan hasil, di mana projek berkenaan perlu mencapai manfaat pendigitalan yang khusus seperti meningkatkan pendapatan, menjimatkan kos perniagaan dan mengurangkan proses pusingan serta waktu bekerja

SAG disasarkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memulakan proses pendigitalan mereka atau merancang untuk meningkatkan dan menambah baik perniagaan menerusi peralatan digital. Ianya merangkumi sektor perkhidmatan am dan profesional, termasuk peruncitan, borong, makanan dan minuman, pelancongan, logistik, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, hartanah dan perkhidmatan profesional serta kewangan.

Diperkenalkan pada Jun 2020 semasa pendemik COVID-19, SAG adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan sokongan kepada PKS untuk berubah kepada digital dan meningkatkan keupayaan digital mereka.

“Tujuan kami memperkenalkan Geran Automasi Pintar adalah untuk membantu PKS dalam sektor perkhidmatan berkembang maju dan kukuh dalam berdepan dengan persekitaran yang mencabar. Para peniaga kini lebih sedar berkenaan keperluan menggunakan peralatan dan penyelesaian digital untuk kekal relevan – geran berkenaan memberi mereka sokongan yang diperlukan untuk memberi impak positif kepada operasi dan penjanaan pendapatan.

“Dengan ini, kami gembira untuk mengumumkan pembukaan permohonan baharu SAG demi memberi sokongan kepada lebih ramai PKS dalam sektor perkhidmatan. Kami harap SAG akan memperkasa lebih ramai PKS untuk menerima pendigitalan selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang bertujuan memudahkan perluasan penerimaan digital,” kata Aiza Azreen, Ketua Pegawai Perniagaan Digital, MDEC.

Geran ini telah menunjukkan beberapa kejayaan dalam pelaksanaannya. Misalnya, ajensi insurans Untung Sewajar Sdn Bhd memerlukan bantuan dalam membangunkan Sistem Insurans Pelbagai Guna Dalam Talian (MIOS) untuk membantu ajen insurans menguruskan maklumat pelanggan, aktiviti pemasaran dan perkhidmatan pelanggan dalam talian.

Selain itu, Bunga Raya Travel Sdn Bhd, sedang menjalankan projek laman sesawang eDagang dengan penyelesaian dalam talian untuk teknik SEO (pengotimuman enjin carian) dan SMO (pengotimuman media sosial).

Permohonan baharu SAG kini dibuka selama empat minggu. Permohon boleh menyemak kriteria kelayakan dan membuat pendaftaran di sini.

PKS dalam sektor perkhidmatan digalakkan untuk menyertai program pembangunan keupayaan yang dianjurkan oleh MDEC untuk memacu pendigitalan perniagaan seperti 100 Go Digital Coaching dan SME Digital Accelerator Programme. Ini akan memastikan PKS lebih bersedia untuk membangunkan pendekatan berstruktur dalam operasi mereka dan mengenal pasti potensi cabaran dan peluang dalam persekitaran digital.

Untuk maklumat lanjut sila layari mdec.my/sag.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC menetapkan sasaran untuk mengintegrasikan negara dengan teknologi, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan sama rata kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan, selaras dengan agenda Malaysia 5.0.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]