10.03.2021
Kategori: 2021, industry, investors

MDEC teruja pelaburan baharu Juwai IQI yang hasilkan 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan

  • Juwai IQI pilih Kuala Lumpur sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan global serta mewujudkan 1,000 pekerjaan di negara ini.
  • Mengukuhkan momentum kemasukan pelaburan teknologi digital ke dalam
    negara untuk capai hasrat Malaysia Nadi Digital ASEAN.

CYBERJAYA, 10 Mac 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memberi sokongan padu kepada syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI yang menubuhkan pasukan data dan teknologi di Kuala Lumpur yang bakal menggunakan lebih 1,000 pekerja. Mengikut perancangan, lokasi yang menjadi pilihan ialah di Millerz Square dan ketika ini kerja-kerja pembinaan telah bermula serta dijangka akan mula beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Pekerjaan baharu berkaitan digital membabitkan pembangunan aplikasi platform mudah alih, sains data dan pakar media sosial dijangka akan memainkan peranan penting pada masa hadapan. Langkah Juwai IQI ini selari dengan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang dilancarkan kerajaan Malaysia pada bulan lalu, bertujuan untuk menarik pelaburan sektor digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025. Secara keseluruhan, sebanyak 1,000 pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan menerusi pelaburan terbaharu syarikat ini manakala kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan menjelang 2025 dalam sektor sama.

“MDEC teruja dan menunggu bermulanya operasi pusat teknologi Juwai IQI di Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan jelas di kalangan pelabur global terhadap Malaysia dan membuktikan tahap kemahiran digital dan kemampuan tenaga kerja negara kita yang tinggi.

Peningkatan keperluan kemahiran digital ketika ini juga merupakan bidang yang diberi perhatian oleh agensi ini. Menerusi analisis terbaharu MDEC yang melibatkan pelbagai laman web dan saluran media sosial untuk mencari pekerjaan seperti LinkedIn, Jobstreet, Monster, Indeed dan Jobstore, menunjukkan peningkatan permintaan untuk pekerjaan digital. Sebanyak 47,000 pekerjaan berkaitan teknologi diiklankan di kesemua portal dinyatakan sehingga Februari 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Inisiatif MDEC di bawah teras pekerjaan dan kemahiran digital telah memanfaatkan lebih dua juta rakyat Malaysia sejak 2016 hingga suku ketiga 2020. Agensi ini telah berusaha untuk menyokong tenaga kerja supaya dapat mengakses kemahiran dan peluang menjana pendapatan melalui program dan inisiatif termasuk Direktori Latihan Kemahiran Digital, Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan juga Go-eCommerce.

“Kami memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat untuk penyelidikan dan pengembangan global kerana sokongan padu yang diberikan oleh MDEC. Syarikat berasa gembira kerana dapat memainkan peranan kecil dalam membantu Malaysia menjadi hab digital ASEAN.

” Walaupun Juwai IQI turut memiliki pasukan teknologi di Shanghai, China, ibu pejabat di Kuala Lumpur akan memberi peluang kepada syarikat untuk menumpukan kepada salah satu kumpulan bakat teknologi yang lengkap di dunia,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari.

Berhubung prestasi sektor digital, Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM345 bilion hingga kini dan mewujudkan hampir 185,000 peluang pekerjaan. Pada tahun lepas, pelaburan baharu oleh syarikat teknologi tulen mencatatkan angka RM3.98 bilion. Sementara itu, pelaburan baharu oleh syarikat perkhidmatan digital berjumlah RM2.01 bilion yang turut mencipta kira-kira 9,000 pekerjaan baharu. Juwai IQI memilih Kuala Lumpur sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) global sambil mengekalkan operasi di Shanghai, yang merupakan pangkalan R&D untuk pasaran China.

MDEC telah bekerjasama dengan kerajaan, pemimpin industri dan sektor swasta untuk meningkatkan jangkauan kemampuan, platform dan infrastruktur digital di kawasan luar bandar. Kerajaan menerusi MyDIGITAL juga akan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM12 bilion hingga RM15 bilion kepada penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan selama lima tahun dengan Google, Microsoft, Amazon dan Telekom Malaysia (TM) telah diberikan kelulusan bersyarat untuk membangun dan menguruskan pusat data skala hiper dan perkhidmatan awan hibrid negara. Projek-projek ini dijangka akan dapat menjadikan Malaysia sebagai pemain e-dagang utama melalui telekomunikasi dan infrastruktur yang lebih baik, murah dan pantas.

“MDEC memuji langkah Juwai IQI untuk mewujudkan hab teknologi di Malaysia kerana ia akan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN. MDEC sebagai agensi yang diberi mandat untuk memimpin ekonomi digital ke depan akan terus memberi tumpuan untuk menarik dan mengekalkan pelabur sedia ada untuk memastikan kesejahteraan bersama kepada semua rakyat ketika kita berusaha untuk mewujudkan Malaysia 5.0. Penekanan MDEC terhadap inisiatif berpaksikan rakyat telah yang memberi pelbagai manfaat. Langkah Juwai IQI telah membawa kita selangkah lebih cepat untuk mencapai matlamat inisiatif MyDIGITAL”, kata Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff.

MDEC sebelum ini telah menarik beberapa syarikat digital terkemuka untuk menubuhkan pusat serantau mereka di Malaysia. Ini termasuk PCCW Solutions (penyedia perkhidmatan teknologi komunikasi terkemuka di Hong Kong, China dan Asia Tenggara), ThunderSoft (beribu pejabat di Beijing) dan Clarivate yang merupakan syarikat global yang memimpin dalam menyediakan penyelesaian untuk mempercepat kitaran inovasi.

Ini merupakan bukti jelas pencapaian dan kemampuan mantap dimiliki Malaysia berdasarkan kemudahan infrastruktur untuk memenuhi keperluan pelabur yang pelbagai, bertutur pelbagai bahasa, berkemahiran digital, ekosistem syarikat pemula dan syarikat teknologi digital yang matang.

“Malaysia telah bergerak pantas untuk menjadi salah satu hab teknologi penting di Asia. Malaysia mempunyai tenaga kerja yang jauh lebih besar berbanding Singapura, penguasaan bahasa Inggeris dan sokongan kerajaan yang berpandangan jauh. Syarikat teknologi termasuk Juwai IQI akan turut menyumbangkan kepada jangkaan 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025.

“Juwai IQI bersedia memberi komitmen untuk membantu dalam memimpin gelombang transformasi digital ke tahap seterusnya. Kami bermula di Malaysia dan berkembang ke ASEAN dan seterusnya seluruh Asia. Asia kini memimpin dunia berhubung penggunaan telefon pintar, penembusan digital, penggunaan internet dan dalam penembusan aplikasi seperti WeChat, Gojek dan Grab. Berdasakran kedudukannya di tengah-tengah ASEAN, Malaysia mempunyai ramuan yang diperlukan untuk menjadi Nadi Digital Asia, ”kata Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Juwai IQI, Georg Chmiel.

Kedudukan unik Malaysia telah meletakkannya pada tempat ke-2 di ASEAN dan ke- 26 dunia dalam Indeks Daya Saing Digital Dunia (IMD) 2020. Forum Ekonomi Dunia (WEF) juga telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke – 34 dalam Laporan Kesediaan Rangkaian Dunia 2020. Selain itu, Indeks Adaptasi Digital oleh Bank Dunia pada 2020 pula menunjukkan Malaysia berada pada prestasi lebih baik berbanding negara Asia Timur dan Asia Pasifik berdasarkan kemampuan penggunaan digital.

Muat Turun PDF

~Tamat ~

Mengenai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah agensi kerajaan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diberi kepercayaan untuk meneraju ekonomi digital Malaysia untuk masa depan. Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawalselia perkembangan inisiatif MSC Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital
dan pelaburan digital di Malaysia.

MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif pendigitalan di di seluruh negara yang sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Kerajaan 2030 dan dengan memantapkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#LetsBuildTogether #DigitalMalaysiaForward

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif Ekonomi Digital MDEC, sila kunjungi kami di https://mdec.my/ atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Mengenai Juwai IQI
Juwai IQI merupakan kumpulan teknologi hartanah Asia yang membolehkan penduduk benua ini untuk memiliki hartanah di seluruh dunia. Syarikat ini menguruskan lebih 17,000 hartanah pada 2020 yang melibatkan 5.5 juta pengguna aktif bulanan dan mengiklankan hartanah bernilai AS $ 4 trilion di 111 negara pada setiap tahun. Syarikat ini menawarkan perkhidmatan pemasaran hartanah, penyelesaian pemasaran dan penjualan yang mengintegrasikan aplikasi rangkaian global IQI yang terdiri daripada lebih 15,000 ejen hartanah dan pasaran terkemuka di pasaran. Juwai.com merupakan portal hartanah antarabangsa nombor satu di China dan portal utama di Asia untuk hartanah global (Juwai.asia). Ikuti Juwai IQI di Twitter, LinkedIn dan Facebook dan lawati https://www.juwaiiqi.com/

Contact:
Dashika Gnaneswaran ([email protected])
Simon Yap ([email protected])