22.02.2021
Kategori: 2021, industry, investors, people

MDEC: MyDIGITAL Fokus Kerajaan Wujudkan Masyarakat Terintegrasi Teknologi

  • MyDIGITAL bakal lonjak ekonomi digital negara untuk manfaat rakyat serta capai hasrat sebagai Nadi Digital ASEAN dan MDEC akan meningkatkan usaha untuk merealisasikan objektif MyDIGITAL.
  • MDEC sambut baik komitmen untuk lengkapkan dan kukuhkan prasarana digital bagi perkasa PKS, mikro dan syarikat pemula yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.
  • Jangkaan lonjakan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK mencecah 22.6 peratus menjelang 2023 memberi dorongan kepada MDEC memacu inisiatif digital terbaharu kerajaan.

CYBERJAYA, 20 Februari: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyambut baik pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Pada masa sama, agensi ini teruja dengan inisiatif ini dan menawarkan sokongan dan komitmen tegas untuk menjayakan MyDIGITAL bersandarkan tiga teras strategik MDEC iaitu rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital dan menarik pelaburan digital bagi mencapai masyarakat terintegrasi teknologi selaras Malaysia 5.0 dan mengukuhkan kedudukan sebagai Nadi Digital ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pelancaran MyDIGITAL dilihat sebagai tindakan positif kerajaan kepada gelombang digital dunia yang berkembang pantas ketika ini dan sangat penting bagi Malaysia sebagai pasaran ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini untuk kekal kompetitif.

Mengulas lanjut, Surina berkata, pihaknya turut menyambut baik kebenaran bersyarat yang diberikan kerajaan kepada empat syarikat terkemuka iaitu Microsoft, Google, Amazon dan Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala besar dan perkhidmatan cloud. “MyDIGITAL diyakini akan memperkukuhkan asas serta pembangunan infrastruktur digital negara. Memandangkan pertumbuhan ekonomi digital bergantung kepada data, inisiatif untuk wujudkan pusat data berskala hiper dengan jangkaan pelaburan mencecah RM15 bilion akan meningkatkan ruang inovasi dan perkongsian kerjasama awam dan swasta.

Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang disebut untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada dengan sasaran sembilan juta premis menjelang hujung 2025 akan menjadikan negara kita bersedia ke teknologi selular generasi kelima atau 5G dalam masa terdekat. Seterusnya, komponen 5G akan memacu pelaburan dalam inovasi baharu menerusi kepantasan yang memungkinan pemindahan teknologi sekaligus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjadikan Malaysia salah satu pasaran paling kompetitif di dunia,” katanya.

Berdasarkan jangkaan baharu sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara yang mencecah 22.6 peratus menjelang 2025 seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, MDEC bersama KKMM akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan masyarakat terintegrasi teknologi iaitu Malaysia 5.0.

MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital seperti diumumkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

Tambah Surina, pihaknya turut teruja apabila MyDIGITAL juga memberi tumpuan penting kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro untuk beralih ke arah e-dagang yang selama ini menjadi inisiatif penting dilaksanakan MDEC.

“Ketika ini sebanyak 335 834 PKS dan mikro telah memasuki pasaran e-dagang berdasarkan rekod MDEC. Berdasarkan sasaran MyDIGITAL pula, sejumlah 875 000 perniagaan kategori berkenaan akan turut berbuat demikian. Sokongan berterusan kerajaan kepada ekosistem syarikat pemula turut diberi fokus perhatian menerusi jangkaan mampu untuk menarik pelaburan baharu sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negara. Ketika ini, ekosistem syarikat pemula sedang muncul di Malaysia berada di tempat ke-11 dunia dengan mendapat skor tertinggi dari segi prestasi dan nilai pasaran manakala nilainya mencecah 15 bilion USD. Sehubungan itu, MDEC bersedia melakukan lonjakan digital untuk mencapai hasil yang lebih baik kepada negara dan rakyat,” katanya.

“Kesemua komponen yang diumumkan dalam MyDIGITAL diyakini mampu menjadi aset baharu negara ke arah transformasi ekonomi digital sekaligus memungkin pelbagai peluang baharu termasuk pelaburan digital dan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini membuktikan kesediaan Malaysia melakukan transformasi dengan pendekatan ‘Whole of Nation’,” katanya.
MDEC menyedari usaha kerajaan untuk menyelaraskan pelbagai perancangan digital ke dalam rangka tindakan ini.

Sehubungan itu, MDEC akan meningkatkan usaha – usaha untuk merealisasikan objektif MyDIGITAL.

Muat Turun PDF

– TAMAT –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran
[email protected]