30.11.2021
Kategori: people

MDEC Memperkasa Pembangunan Bakat Menerusi Kerjasama dengan UNICEF, Yayasan Peneraju

  • MDEC dan UNICEF bawa golongan belia tersisih dan pemimpin industri ke platform yang sama untuk bimbingan kerjaya dan mentor
  • MDEC dan Yayasan Peneraju menyediakan sesi peningkatan pengetahuan digital yang dianjurkan untuk pelajar sekolah di seluruh negara menerusi platform maya

 

CYBERJAYA, 30 November 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, telah meningkatkan usaha untuk membangunkan persekitaran pembelajaran digital untuk golongan belia menerusi kerjasama strategik dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Menerusi sasaran untuk memperkukuh bakat digital semasa proses pemulihan daripada COVID-19, kedua-dua kerjasama berkenaan telah dimeterai melalui Gerakan #mydigitalmaker MDEC, sebuah kerjasama sektor awam-swasta-akademik yang dilancarkan pada Ogos 2016.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen #SayaDigital MDEC dan setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 2.2 juta kanak-kanak menerusi pengintegrasian pemikiran berasaskan komputer di dalam kurikulum sekolah dan penganjuran aktiviti ko-kurikulum oleh MDEC dan rakan ekosistemnya.

“Perubahan pasaran bakat yang pantas membawa peluang baharu kepada golongan belia. Kemahiran asas serta kemahiran boleh pindah yang kukuh dan diterapkan sejak awal adalah faktor penting dalam memupuk mereka untuk menjadi pekerja yang tangkas dan berdaya saing.

“Kerjasama strategik dengan UNICEF dan Yayasan Peneraju adalah bukti usaha MDEC dalam memastikan Malaysia terus melahirkan kumpulan bakat digital yang inovatif dan kreatif, selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Dr. Sumitra Nair, Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya, MDEC.

 

UNICEF

 

Menerusi kerjasama ini, MDEC dan UNICEF menyasarkan untuk mencipta peluang dan kerjaya lebih baik kepada belia tersisih dengan membawa mereka bersama-sama dengan pemimpin serta pakar industri di dalam platform yang sama untuk bimbingan kerjaya dan mentor.

Kerjasama ini meliputi peluang latihan dalam pekerjaan dan pengalaman industri kepada belia menerusi program perantisan serta pembangunan kemahiran.

“Kami sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan MDEC dalam menawarkan peluang pembangunan kemahiran dan mencipta kerjaya yang lebih baik untuk golongan belia di Malaysia.

“Kerjasama strategik seperti ini akan memacu peluang yang inklusif dalam pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan. Menjadi keutamaan kami untuk membina kemahiran belia untuk memastikan tiada sesiapa yang akan tertinggal,” kata Dr Rashed Mustafa Sarwar, Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam.

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak memberi fokus kepada program yang dijalankan bersama serta bersendirian yang berasaskan akademik dan kerjaya, dibangunkan oleh MDEC dan UNICEF. Program berkenaan merangkumi:

 

  • Karnival #MyDigitalMaker
  • Institut Teknologi Digital Perdana
  • Program Kemahiran Masa Depan untuk Semua (FS4A)
  • Bengkel Pembangunan Kemahiran KitaConnect
  • Program Kesediaan Pekerjaan Belia MDEC + UNICEF

 

Yayasan Peneraju

Memberi fokus kepada pembangunan persekitaran digital masa depan untuk belia Bumiputera, MDEC telah bekerjasama dengan Yayasan Peneraju untuk menyediakan program peningkatan pengetahuan, iaitu Yayasan Peneraju High Impact Programme – Competition (Technology), kepada pelajar sekolah di seluruh negara menerusi platform maya.

Dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju, sesi berkenaan telah bermula pada awal 2021 dan telah memanfaatkan lebih 1,000 pelajar Bumiputera daripada umur 13 hingga 17 tahun menerusi pembelajaran dan penerokaan kemahiran teknologi digital yang ditetapkan menerusi pertandingan secara maya.

“Yayasan Peneraju melihat kerjasama strategik dengan MDEC ini sebagai faktor penting dalam mendepani cabaran memupuk modal insan, khususnya bakat Bumiputera, untuk menjadikan mereka golongan yang berpotensi tinggi dalam kepakaran teknologi.

“Sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mandat kami adalah untuk meningkatkan kualiti bakat profesional Bumiputera dalam sektor berimpak tinggi. Kami perlu memastikan penerima manfaat kami dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan teknologi untuk membolehkan mereka berjaya dalam kerjaya dan kehidupan,” kata Ts Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju.

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected] 

Hazel Hassan – [email protected]