01.03.2021
Kategori: 2021

MDEC Teruskan Agenda Mencipta Semula Dengan Perlantikan Ketua Pegawai Perniagaan Digital Baharu

  • Aiza Azreen Ahmad dilantik sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC iaitu jawatan baharu yang bertanggungjawab dalam merangka strategi perniagaan dan inisiatif pembangunan di MDEC
  • Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dijangka akan menggunakan kepakaran untuk mengukuhkan lagi usaha MDEC dalam memimpin ekonomi digital Malaysia ke hadapan
    Cyberjaya, 1 Mac 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan pelantikan Aiza Azreen Ahmad sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Digitalnya dalam usaha berterusan agensi ini untuk ‘Mencipta Semula’ dan mengukuhkan ekonomi digital Malaysia.

Susulan perlantikan ini, Aiza Azreen akan bekerjasama rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dan Ahli Lembaga Pengarah untuk memacu semua aspek berkaitan pembangunan perniagaan, perancangan strategik dan operasi syarikat termasuk inisiatif pembangunan korporat dan perniagaan. Beliau juga akan terlibat dengan perancangan pengembangan dan kawalan perbelanjaan, input komersial ke dalam pembangunan digitalisasi nasional dan juga menyokong hubungan dengan pelabur dan pengumpulan dana.

Perkembangan terbaharu ini menandakan satu lagi usaha penting di bawah visi ‘Mencipta Semula’ MDEC untuk memupuk organisasi ke arah berprestasi dan berimpak tinggi. Sebelum ini, MDEC telah melakukan perubahan meluas membabitkan keseluruhan organisasinya untuk memastikan prestasi optimum bagi struktur baharunya.

“MDEC sememangnya mempunyai pasukan berbakat dan dengan penyertaan Aiza Azreen, agensi ini berhasrat mengukuhkan pengalaman dan kepakaran untuk menjadi sebahagian daripada usaha tanpa henti bagi merealisasikan Malaysia 5.0. Ketika ini, jumlah bakat dikenali semakin ramai yang ‘tertarik’ dengan MDEC dan ini telah memberi nilai tambah kepada pihak berkepentingan. Ia juga membawa perspektif dan dimensi baharu dalam landskap yang pantas berubah dan tidak pernah berlaku sebelumnya. Pelantikannya akan membolehkan MDEC memperluas dan memperkukuhkan inisiatif pengembangan perniagaan dan jangkauan dalam ekonomi digital. Ini seterusnya membolehkan agensi memenuhi matlamat dan visi digital negara seperti yang diperincikan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Pengerusi MDEC, YBhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff.

Berhubung peranan baharunya, Aiza Azreen akan menyertai Majlis Operasi MDEC (MOC) dan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif MDEC. Beliau juga bertanggungjawab untuk mengawasi dan mengetuai proses adaptasi digital ke dalam ekosistem e-dagang, perniagaan, pembangunan ekosistem data dan Bahagian Infrastruktur Digital MDEC.

Beliau juga akan memimpin untuk mencari peluang bagi meneroka inovasi luaran sekaligus memperluaskan strategi komersial, membina perniagaan korporat dan inovasi dalam e-dagang sejajar dengan fokus MDEC untuk pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro di negara ini.

“Pelantikan Aiza Azreen akan memantapkan lagi barisan sedia ada ketika MDEC memperluaskan kemampuan dan peluang perniagaannya sama ada di peringkat domestik atau global bagi meningkatkan jangkauan digital yang berpengaruh untuk negara. Saya teruja untuk bekerjasama dengan Aiza Azreen dan yakin beliau akan menjadi nilai tambah kepada agensi ini yang sedang berusaha meningkatkan jangkauan digital untuk masyarakat dan ekonomi. Langkah ini merupakan cerminan komitmen MDEC untuk mewujudkan teknokrat dan mengutamakan masyarakat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang seterusnya akan membawa kepada kemakmuran bersama untuk semua rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Aiza Azreen berpengalaman lebih 20 tahun dalam kariernya termasuk di Australia yang mana beliau terlibat dalam pengembangan strategi dan pelaksanaan transformasi berskala besar membabitkan pelbagai industri.

Beliau sebelum ini memimpin Pertama Digital Berhad di samping pernah berkhidmat di Axiata Digital Services dan Axiata eCode Sdn Bhd (sebahagian syarikat Axiata Group), Bank Rakyat, Kumpulan Sime Darby, Media Prima Berhad dan AmBank Berhad. Menerusi pelbagai peranan terdahulu, beliau telah membantu dalam merintis ekosistem digital termasuk mempelopori ekosistem tanpa tunai di Malaysia dengan Boost eWallet, menyebarkan teknologi terbaharu, menginovasikan model operasi dan pengkomersialan perniagaan melalui penggabungan dan pengambilalihan dan kerjasama dengan rakan strategik.

“Saya berkesempatan mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan MDEC mengenai apa yang diperlukan untuk mempercepatkan pengembangan ekonomi digital Malaysia. Perlaksanaan visi ‘Mencipta Semula’ oleh MDEC serta cabaran yang wujud menyebabkan saya mengambil keputusan untuk ‘bercuti’ daripada sektor swasta dan menjadi sebahagian daripada perjalanan MDEC, namun ini bukanlah keputusan yang sukar. Hari ini, saya telah menyertai pasukan terbaik untuk menyumbang
kepada MDEC dan negara. Susulan pelancaran inisiatif MyDIGITAL baru-baru ini, saya teruja dengan cabaran seterusnya,” kata Aiza Azreen.

Muat Turun PDF

– Tamat –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC
sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:

Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan lanjur, sila hubungi;
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]