07.12.2021
Kategori: industry, people

Kempen Go-eCommerce Onboarding & Shop Malaysia Online Belanjawan 2021 Anjuran MDEC Berjaya Lepasi Sasaran

  • Kempen berkenaan telah memberi manfaat lebih 500,000 penjual, melepasi sasaran awal iaitu seramai 300,000
  • Setakat ini berjaya mencatatkan lebih 85 juta transaksi, dengan Nilai Barangan Kasar lebih RM4.6 bilion

 

CYBERJAYA, 7  DISEMBER 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, hari ini mengumumkan status terkini inisiatif kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021, yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.

Setakat Oktober 2021, kempen tersebut telah berjaya melepasi kedua-dua sasaran berkenaan dengan melibatkan 500,000 perniagaan dan menjana 85 juta transaksi dengan Nilai Barangan Kasar (GMV) lebih RM4.6 bilion.

“Kami amat teruja dengan perkembangan terkini kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021. Ini menjadi bukti jelas bahawa insentif yang disuntik oleh Kerajaan dan rakan yang terlibat kepada rakan eDagang dan eBayar, telah memberi impak besar dalam membantu memulihkan ekonomi. Kami akan terus memecahkan rekod berkenaan memandangkan kempen tersebut hanya akan berakhir pada 31 Disember 2021.

“Kerajaan menyedari keperluan industri dan kepentingan untuk meneruskan bantuan pemulihan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi pasca pandemik. Oleh itu, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan untuknya di bawah Bajet 2022. Sebagai agensi peneraju ekonomi digital negara, MDEC akan terus memacu agenda eDagang kami dan mengembangkan ekosistemnya serta memenuhi keperluan Keluarga Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, Kerajaan telah menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta dalam kempen berkenaan dengan menyasarkan untuk membantu perniagaan tempatan merangkumi pelbagai sektor untuk mengadaptasi platform eDagang dan eBayar, bagi meningkatkan keupayaan jualan dalam eDagang. RM100 juta telah diperuntukkan untuk membantu perniagaan tempatan untuk mengadaptasi platform eDagang menerusi kempen Go-eCommerce Onboarding.

Data yang dijana setakat ini menunjukkan lebih 500,000 penjual telah menyertai kempen ini dengan 320,000 daripadanya ialah penjual baharu yang menggunakan platform eDagang.

Kempen berkenaan juga berjaya merekodkan pendaftaran seramai 157,566 usahawan wanita, sekali gus melepasi sasaran awal iaitu seramai 30,000 orang untuk tahun 2021.

Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021 menyasarkan untuk menjana lebih RM1 bilion GMV menerusi 10 juta transaksi. Kedua-dua sasaran berkenaan telah dilepasi dengan kempen berkenaan yang telah berjaya menjana RM4.6 bilion GMV menerusi 85 juta transaksi setakat Oktober 2021.

Seramai 32 rakan eDagang telah terlibat iaitu à la carte (revenue monster), Beep by Storehub, Boost, Delivereat, Dhause, Dropee, eRomman, EZAssist, Fave, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instant eStore, JDMas, Jocom, Kravve, Kumoten, Lazada, Lokein, Mpay, PGMall, PrestoMall, Maybank, SenangPay, Shopee, Shopline, SiteGiant, Subplace, Touch ‘N Go eWallet, Wonderfly dan Zalora.

Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online Belanjawan 2021 masih berlangsung dan untuk menyertai atau mengetahui lebih lanjut boleh layari: http://www.mdec.my/belanjawan2021.

Bagi mengetahui dan mengambil bahagian dalam program berkaitan eDagang pada masa depan, kami menggalakkan orang ramai untuk mendaftar di https://mdec.my/go-ecommerce/ dan ia adalah percuma.

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]