01.08.2021
Kategori: #MDEC25, industry, investors, MDEC 25, MDEC 25th Anniversary, people

MDEC Sambut Jubli Perak – 25 Tahun Memacu Transformasi Digital Malaysia

 

Jauh Sudah Perjalanan, Banyak Yang Telah Dicapai

“Kita berbicara mengenai sesuatu yang ingin dicapai melepasi apa yang boleh kita fikirkan. Kita berbicara mengenai bagaimana gaya hidup dan cara baharu kita bekerja menerusi MSC.

YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad mengungkapkan kata-kata di atas pada tanggal 17 Mei 1997, ketika itu adalah pelancaran rasmi Cyberjaya, membuatkan kita sukar membayangkan bagaimana jauhnya dunia sudah berkembang. Tun Dr. Mahathir meletakkan imaginasinya terhadap Koridor Raya Multimedia sebagai sesuatu yang baru, di luar kotak pemikiran yang melampaui zaman ketika itu — undang-undang baru siber, suasana dan persekitaran yang baru, kaedah baru perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelbagai aplikasi teknologi baru.

25 tahun ke hadapan, di saat dan ketika ini — apa yang beliau bayangkan telah berubah, melebihi segala kemungkinan yang boleh kita fikirkan. Namun begitu, apa yang telah dicapai, bukan sekadar dilahirkan menerusi kerja keras dan semangat kental semata-mata, ia merupakan hasil pandangan jauh dan perancangan rapi yang bermula pada tahun 1996.

Meletakkan asas yang kukuh (1996-2003)

Tarkih keramat 5 Jun 1996, Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDC) ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan MSC Malaysia. Setelah itu, kurang dari sebulan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir melancarkan pula inisiatif MSC Malaysia pada Persidangan dan Pameran Multimedia Asia yang pertama, serentak dengan pelancaran MDC, yang akhirnya kini dikenali sebagai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Pada tahun yang sama, tanggal 5 Disember 1996, Sun Microsystems menjadi syarikat pertama yang menerima penganugerahan status MSC — sejarah yang tercipta menyaksikan lebih banyak syarikat terus memacu jalan dan merintis ekonomi digital negara. Sejak itu, beribu lagi syarikat telah menerima status MSC di atas sumbangan mereka dalam meyuntik modal, idea dan peluang pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia. Sehingga tahun 2019, terdapat 2,954 syarikat berstatus MSC yang aktif menyumbang pendapatan terkumpul sebanyak RM472 bilion dan mencipta 182,538 pekerjaan dalam ekonomi Malaysia.

Sementara itu, pada tahun 1997 menyaksikan tertubuhnya Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IAP), yang bermatlamat untuk menggembleng tenaga dan pemikiran daripada pakar ICT, pemikir dan penyelidik antarabangsa terkemuka dalam memacu industri ICT Malaysia ke hadapan.

Memasuki Fasa Kedua (2004 – 2010)

Bergerak ke hadapan, MSC Malaysia Next Leap yang diumumkan pada Julai 2004, menandakan Fasa Kedua perjalanan MDEC, yang meliputi tempoh masa di antara tahun 2004 hingga 2010. Apakah fokusnya? Untuk memperkenalkan inisiatif MDEC ke seluruh negara.

Perdana Menteri ketika itu, YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi mengumumkan 10,000 buah sekolah akan ditukar kepada sekolah pintar. Inisiatif dasar pendidikan yang luas ini akhirnya mencetuskan  program-program MDEC seperti MyDigitalMaker, di mana ia telah memberi impak kepada 2.1 juta pelajar dan mempersiap sediakan 90,000 guru dengan kemahiran digital yang banyak memberi manfaat dalam kelas dan pembelajaran.

Pada tahun 2015, ketika ulang tahun kesepuluh MSC, bingkisan daripada Saladin: The Animated Series yang diterbitkan oleh MDEC, ditayangkan kepada umum, menandakan permulaan industri kandungan digital Malaysia.

Saladin dan inisiatif lain MDEC dalam industri kandungan digital telah membuka jalan kepada lebih banyak penghasilan harta intelek seperti Upin & Ipin, BoboiBoy dan Ejen Ali untuk terus cemerlang di persada dunia. Hari ini, ekosistem kandungan digital tempatan telah berkembang pesat — merangkumi animasi, permainan video dan kesan khas — yang sering menerima projek dan penghargaan antarabangsa.

Menuju Malaysia Digital (2011 – 2021)

Fasa Kedua perjalanan kami berakhir pada Oktober 2010, di mana ketika itu MDEC telah memulakan tugasan untuk membawa negara selangkah kehadapan menuju aspirasi digital dengan membentuk Rangka Kerja Ekonomi Digital Inovatif (IDE). Pada 19 Oktober 2011, ketika Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-23, MDEC telah diberi mandat untuk menjayakan IDE atau dikenali sebagai Digital Malaysia yang menjadi popular dan dijadikan rangka tindakan atau blueprint kepada program transformasi digital negara.

Digital Malaysia telah memberi fokus baru kepada matlamat MDEC menerusi tiga komponen utama; Pembangunan Industri, Transformasi Digital dan Penyuburan Ekosistem. Menerusi pelan ini juga lahirnya aspirasi untuk ekonomi digital menyumbang 18.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2020.

Aspirasi tersebut kini telah dicapai. Ekonomi digital Malaysia menyumbang kepada 19.1 peratus kepada KDNK pada tahun 2019, dan dijangka akan mencapai 22.6 peratus menjelang 2025. Hampir keseluruhan transformasi digital negara kini telah mula meraih pencapaian yang diharapkan — dari 2017 hingga 2020, sebanyak 489,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menggunapakai eDagang dalam operasi perniagaan mereka.

Untuk mencapai kejayaan sebegini sesungguhnya menuntut dedikasi, kerja keras dan semangat juang yang tinggi. Dan oleh kerana daya tahan dan fokus yang tidak goyah, membolehkan banyak inisiatif kami dapat bertahan dan menghasilkan nilai berharga kepada negara. MDEC telah dilahirkan hanya beberapa ketika kita dihempas krisis kewangan Asia pada tahun 1997, namun tidak pernah tersasar daripada matlamatnya untuk menjadi pemangkin industri ICT Malaysia. Begitu juga halnya ketika krisis kewangan global pada 2007, MDEC terus bangkit sehingga diberi mandat pada tahun 2011 untuk menerajui Digital Malaysia, ia merupakan sebahagian daripada Agenda Transformasi Nasional.

Dan di saat ini, di sebalik pandemik Covid-19, MDEC sekali lagi membuktikan betapa lasaknya institusi ini. Semenjak 2019, kami telah menyusun semula peranan kami yang kini Memimpin Ekonomi Digital Malaysia Ke Hadapan. Biar apa jua rintangan dan kepayahan yang mendatang di kala norma baharu ini, MDEC telah menerajui inisiatif dan usaha yang bukan hanya membantu rakyat Malaysia mendepani masa depan yang tidak menentu, malah menuntun kita ke ufuk mega bersinar terang, dipenuhi dengan pelbagi peluang.

Baru-baru ini, MDEC telah memperkenalkan Strategi Pelaburan Digital Future 5 Malaysia — sebuah pelan lima tahun yang menyasarkan untuk menarik pelaburan digital dan memajukan ekonomi digital Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12.

Kesemua pelan ini merupakan usaha berterusan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Kebangsaan yang beriltizam untuk menjadikan Malaysia, sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

25 Tahun yang Mendatang — Terus Mara Ke Hadapan

Selama 25 tahun ini, MDEC telah memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia. Kami telah melakukan transformasi, jika tidak keterlaluan untuk diungkapkan Malaysia sebagai negara ‘start-up’ pertama di dunia, dan kini menjadi salah sebuah negara peneraju digital di rantau ASEAN.

Apa seterusnya, 25 tahun akan datang untuk MDEC? Sukar untuk kami bayangkan. Bagi MDEC, sesungguhnya, Masa Hadapan Kini Sudah Bermula, sepertimana kita telah menjalani kehidupan yang serba-serbinya digital. Agensi ini akan terus menerajui transformasi digital demi peluang ekonomi yang sama rata serta memacu Malaysia ke arah sebuah negara digital yang berdaya saing.

Apakah impian kami? Tahun ini sahaja, kami semakin hampir untuk mencapai matlamat — 100,000 rakyat Malaysia diperkasakan untuk mempelajari kemahiran baru dan menjana pendapatan menerusi platform digital. Kamai akan terus memberikan fokus kepada empat teras NADI Digital – Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Paling penting, di bawah agenda Malaysia 5.0, kami ingin mencapai impian masyarakat Malaysia yang terangkum dengan teknologi serta menyemai peluang sama rata kepada rakyat dan perniagaan.

Walaupun MDEC telah menempuh perjalanan yang panjang selama 25 tahun ini, namun kami merasakan banyak lagi yang boleh kita lakukan demi negara yang tercinta ini. Dengan kemunculan teknologi digital baru seperti kecerdasan buatan, teknologi robotik dan bioteknologi, sesungguhnya menjanjikan masa depan yang cerah kepada negara dan kita tidak boleh ketinggalan. Kami sangat komited untuk membangunkan ekonomi digital Malaysia, yang berkisar mengenai keperluan negara dan rakyat — dan apa yang diperlukan oleh mereka untuk terus mara dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Ini adalah masanya, dan kami harus menyusun langkah bersama. Kerana kami adalah nadi digital ASEAN, dan inilah kami, MDEC. 

Layari: https://mdec.my/mdec25

Muat Turun PDF