04.02.2021
Kategori: industry

MDEC Agihkan Geran Automasi Pintar RM6.2 Juta Untuk Sokong Pendigitalan PKS

  • Geran ini menyokong PKS dan syarikat kategori pertengahan sektor perkhidmatan untuk lakukan lonjakan digital dan sesuaikan dengan norma baharu
  • Pemberian geran secara padanan ini menerusi pendekatan kerjasama untuk bantu perniagaan rebut peluang dan berdepan saingan sengit ekonomi digital

CYBERJAYA, 4 FEBRUARI 2021: Sebanyak 66 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat kategori pertengahan berkaitan perniagaan tradisional dan perkhidmatan menerima Geran Automasi Pintar (SAG) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Inisiatif ini dilaksanakan oleh Bahagian Pendigitalan Perniagaan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM6.2 juta.

SAG yang diperkenalkan pada Julai 2020 berkonsepkan geran padanan yang ditawarkan kerajaan kepada syarikat bidang perkhidmatan untuk mengautomasikan operasi masing -masing ke arah pendigitalan sepenuhnya.

Kesemua 66 penerima SAG merupakan syarikat di seluruh negara yang terdiri daripada perniagaan pemborong dan runcit (30%), perkhidmatan am (24%) dan perkhidmatan profesional (14%). Sektor lain pula termasuklah pengangkutan dan penyimpanan, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, kewangan dan insurans, hartanah dan pembinaan.

Sejak pelancarannya, SAG fokus untuk merealisasikan pendigitalan di kalangan perniagaan, yang selari dengan salah satu teras strategik MDEC iaitu iaitu perniagaan diperkasa secara digital di samping pekerjaan digital dan pelaburan digital. Agensi ini terus menjadi platform kepada PKS dan syarikat pertengahan untuk berkembang pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan memberi tumpuan kepada memperkasakan perniagaan di setiap peringkat dan sektor.

“Geran padanan yang diberikan akan membantu syarikat-syarikat untuk mempercepatkan automasi dan mencapai hasil produktif termasuk peningkatan pendapatan, penjimatan kos perniagaan, pengurangan kitaran masa dan tempoh bekerja serta mewujudkan sumber pertumbuhan baharu. Semua ini penting untuk menyesuaikan diri dengan yang norma baharu,” kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Pelaburan Digital dan Jenama MDEC, Raymond Siva.

Menerusi kaedah ini, permohonan berjaya akan menerima peruntukan sehingga 50 peratus kos projek yang dilaksanakan dengan had maksimum RM200,000 atau yang mana lebih rendah. Ini bermakna pemohon yang berjaya akan membayar hanya 50 peratus jumlah kos projek digitalisasi dan akan menerima baki jumlah berdasarkan pencapaian.

Pemberian ini merangkumi tempoh selama empat bulan dengan pelaksanaan projek dan digitalisasi operasi perniagaan pada bulan pertama manakala baki tempoh selanjutnya untuk pemantauan mencapai hasil projek.

“Kesan sosio-ekonomi akibat pandemik global telah memaksa perniagaan berfikir kaedah digital untuk memajukan rancangan digitalisasi mereka. Bagi menyokong kelompok ini, kerajaan menerusi MDEC menyediakan geran padanan ini khusus untuk PKS dan syarikat kategori pertengahan bagi membolehkan mereka membangunkan kemampuan digital. Ingin dijelaskan bahawa tujuan SAG ini ialah untuk memastikan syarikat -syarikat ini bersedia untuk melakukan lonjakan digital pada era IR4.0 . Ia merupakan sebahagian daripada usaha MDEC untuk merealisasikan visi Malaysia 5.0 dan seterusnya membuka ekonomi digital kepada pelbagai lapisan rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta menerusi PENJANA kepada MDEC untuk disalurkan secara geran padanan untuk mendorong digitalisasi perniagaan di Malaysia. Pemohonan dibuka bermula 1 Julai dan 14 Oktober 2020. Seterusnya, kajian dan penilaian menyeluruh dilakukan untuk memastikan bahawa pemberian memenuhi syarat ditetapkan termasuk diperbadankan di Malaysia, prestasi operasi sebelum ini dan pengurusan kewangan yang cekap.

Ketika ini MDEC terus menilai dan akan mengumumkan penerima seterusnya mengikut waktu ditetapkan. MDEC juga telah menyalurkan dana yang telah diluluskan secara berkala kepada penerima berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang dicapai.

Permohonan dinilai oleh Jawatankuasa Kelulusan SAG yang terdiri daripada wakil awam, swasta dan pakar bidang industri. Ini KKMM, Captii Ventures, Cybersecurity Malaysia, Intel Technology Sdn. Bhd., Kenanga Investment Bank Bhd, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), MSC Cyberport Sdn. Bhd., Robert Bosch Sdn. Bhd., Roland Berger dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Salah satu penerima SAG ialah Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat perkhidmatan dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Beroperasi di Lumut, Perak, syarikat ini berdepan saat sukar untuk meneruskan perniagaan dan selama ini beroperasi secara tradisional menerusi kaedah jualan tiket feri bercetak dan pembelian di kaunter selama hampir 10 tahun.

“Kami masih menaruh harapan untuk melihat sektor pelancongan pulih walaupun sangat terkesan dan mengharungi tempoh sukar disebabkan pandemik ini. Operasi di jeti terjejas dan pihak pengurusan mengambil peluang untuk meneroka kaedah automatik untuk operasi di terminal feri dan sistem penjualan tiket. Kami mengambil masa selama beberapa bulan untuk melakukan kajian. Salah satu cabaran utama ialah kos pelaksanaan dan apabila mengetahui tentang bantuan SAG MDEC, syarikat telah mengemukakan permohonan dan berjaya. Sistem eTicketing Pangkor Ferry dalam talian mula beroperasi pada November 2020,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ding Mei Looi.

Mei Looi turut mendedahkan, sejak beralih kepada sistem baharu, prestasi syarikat meningkatkan membabitkan khidmat pelanggan, pendapatan, waktu dan kecekapan dalam operasi secara keseluruhan.
“Ini merupakan pencapaian terbesar bagi syarikat. Kami mengucapkan terima kasih kerajaan, MDEC dan semua pihak yang memberi peluang untuk menaik taraf platform tiket dalam talian dan mengendalikan sistem terminal feri dengan lebih efektif dan efisien, “tambahnya.

Senarai lengkap penerima SAG yang diluluskan boleh didapati di http://mdec.my/digital-economy-initiatives/for-the-industry/smart-automation-grant/.

Untuk maklumat lanjut mengenai SAG MDEC dan geran yang akan ditawarkan, sila layari mdec.my/sag atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan (CliC) MDEC di 1-800-88-8338 / [email protected]

Muatturn PDF

-TAMAT-

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara. Ditubuhkan pada 1996, mandat MDEC termasuk memacu penerapan mengguna pakai teknologi digital di kalangan rakyat, pembangunan bakat yang mampu memenuhi kehendak industri,
merangka dasar-dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.

Untuk memastikan masa depan Malaysia menghadapi era digital terjamin, MDEC akan bersandarkan rekod prestasinya yang kukuh, kredibiliti di kalangan industri dan kepimpinan yang berpengalaman untuk mengaitkan, memangkinkan dan mengkomersialkan inisiatif- inisiatif digital yang bertujuan untuk menggiatkan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang dengan pesat dan mampan serta menjadikan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.

MDEC juga akan terus memacu pertumbuhan ekonomi digital berimpak tinggi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 dan mengukuhkan reputasi negara sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysia #DigitalvsCovid

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:

Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Contact:
Dashika Gnaneswaran: [email protected]
Shyla Sangaran: [email protected]