06.08.2021
Kategori: 2021, industry

MDEC Lantik Richard Loh Sebagai Ketua Pegawai Inovasi & Teknologi

  • Richard berpengalaman lebih dari 24 tahun dalam AI, data dan teknologi maklumat, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Maklumat di beberapa syarikat gergasi seperti Nokia, Siemens, AIG Insurance, Zurich Insurance dan AXA Partners sebelum pelantikan di MDEC

CYBERJAYA, 6 AUGUST 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama menerajui transformasi ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan pelantikan Richard Loh Tian Hu sebagai Ketua Pegawai Inovasi dan Teknologi.

Richard memulakan kerjaya beliau di Siemens Malaysia pada 1997, kemudian dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Maklumat di Nokia Siemens Network pada 2006. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Maklumat di AIG Insurance Malaysia; pernah memegang jawatan sebagai Ketua bagi Perkhidmatan Teknologi Maklumat di Zurich Insurance Malaysia. Jawatan terakhir beliau sebelum menyertai MDEC adalah sebagai Ketua Pegawai Maklumat di AXA Partners bagi rantau Asia.

Beliau akan menggalas tanggung jawab untuk menerajui dan membina Strategi Teknologi Maklumat, Pelan Digital dan Transformasi MDEC. Richard juga ditugaskan untuk mengkaji, menyusun semula dan mengintegrasikan fungsi dan infrastruktur teknologi demi meningkatkan keupayaan MDEC serta memastikan ia sejajar dengan objektif untuk memberikan perkhidmatan teknologi dan inovasi digital yang lebih dinamik serta responsif terhadap para pelanggan. 

“Richard memiliki pengalaman dan pengetahuan luas yang boleh memacu inisiatif transformasi digital MDEC lebih jauh — yang bakal memberi manfaat kepada semua, menggalakkan masyarakat terintegrasi dengan teknologi, berpaksikan keterangkuman dan kesamaan sejajar dengan Malaysia 5.0. Ini dapat dilihat menerusi pengalaman dan pencapaian beliau, dengan itu, saya berasa sukacita dan mengalu-alukan kehadiran beliau ke dalam pasukan MDEC,” menurut Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC. 

Richard akan melaporkan diri di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dilantik sebagai salah seorang anggota Majlis Operasi MDEC (MOC).

“Richard akan memperukuhkan strategi Teknologi Maklumat dan keselamatan data kami, selaras dengan peningkatan keupayaan dan kapasiti MDEC dalam ekonomi digital secara keseluruhannya. Saya yakin Richard akan terus memberi nilai tambah dan memastikan kami meningkatkan kekuatan dan penyampaian kami kepada para pelanggan, demi menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN dan mencapai objektif dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.  

“Saya sangat teruja untuk berkhidmat bersama MDEC dan menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan negara sebagai pemain utama dalam ekosistem digital di peringkat serantau dan global secara amnya. Berkhidmat untuk rakyat Malaysia merupakan satu penghargaan tertinggi buat saya,” kata Richard.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC membawa agenda Malaysia 5.0, membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan saksama kepada rakyat dan perniagaan.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. MDEC mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing tinggi dari segi digital di peringkat global, berpandukan inklusif, kelestarian, dan kemakmuran bersama dan menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #MHODA #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut melalui inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]