03.05.2021
Kategori: 2021, CTO, industry, mdec

MDEC umum Mohd. Afdhal Nayan sebagai Ketua Pegawai Transformasi

  • Bekas Ketua Transformasi di Kumpulan AirAsia, Mohd. Afdhal akan mengembangkan, melaksanakan dan mendorong inisiatif transformasi MDEC bagi mencapai peningkatan proses perniagaan, strategi perolehan dan perkhidmatan MSC

CYBERJAYA, 3 MEI 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama yang diberi mandat untuk transformasi digital negara hari ini mengumumkan pelantikan Mohd. Afdhal Mohd. Nayan sebagai Ketua Pegawai Transformasinya yang baharu. Beliau akan terlibat dalam usaha untuk memacu misi ‘Mencipta Semula’ agensi serta mempercepatkan keupayaan untuk merealisasikan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Susulan perlantikan ini, Mohd. Afdhal,33, akan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Pn Surina Shukri dan bekerjasama rapat dengan Majlis Operasi (MOC) MDEC, barisan kepimpinan kanan dan Lembaga Pengarah untuk menentukan inisiatif, pengembangan dan pelaksanaan transformasi korporat organisasi untuk melaksanakan misi bagi memacu inovasi serta masyarakat inklusif yang terintegrasi dengan teknologi sejajar Malaysia 5.0.

“Mohd. Afdhal merupakan seorang pakar transformasi yang terbukti dan mempunyai rekod prestasi di Kumpulan AirAsia Bhd. Beliau dilihat sebagai pemimpin yang sangat sesuai dengan misi Mencipta Semula yang sedang dilaksanakan oleh MDEC. Saya yakin bahawa beliau akan mempercepat inisiatif perubahan untuk menjadikan MDEC sebuah agensi yang cekap dan mampu beroperasi pada tahap integriti tertinggi dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana (Pentadbiran Perniagaan) dari Asia School of Business sebelum ini merupakan Ketua Pelaksanaan Transformasi di syarikat penerbangan tambah murah berkenaan sejak 2018. Beliau berpengalaman dalam mengawalselia sejumlah 88 projek transformasi yang memberi kesan positif kepada syarikat apabila berjaya mencatatkan penjimatan ketara bagi kos operasi.

Selanjutnya, Mohd. Afdhal juga bertanggungjawab merancang program peningkatan berterusan dengan menggabungkan sumber sedia ada bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan keuntungan organisasi. Program berkenaan juga berjaya mengubah hampir 900 pekerja untuk menjadi agen transformasi utama dalam syarikat berkenaan.

“Pelantikan Mohd. Afdhal akan mengukuhkan kemampuan perniagaan dan operasi MDEC serta memastikan amalan terbaik dilaksanakan membabitkan kesemua program agensi secara dalaman dan luaran bagi memastikan MDEC dapat meningkatkan kepuasan pelanggan dan pihak berkepentingan. Beliau sudah pasti akan memainkan peranan penting dalam usaha kami untuk merealisasikan MyDIGITAL yang sangat penting kepada rakyat dan negara,” kata Surina.

Mohd. Afdhal akan memimpin dalam melaksanakan tinjauan keseluruhan bagi memangkin peningkatan kecekapan proses perniagaan semasa dan meningkatkan aliran pendapatan. Beliau juga akan menerapkan amalan terbaik membabitkan strategi perolehan dan mencadangkan peraturan dan proses baharu sambil memastikan kepatuhan terhadap intergriti pengurusan risiko dan kerajaan. Selain itu, beliau juga akan ditugaskan untuk meningkatkan dan memperbaiki operasi Koridor Raya Multimedia (MSC)

“Saya bersedia untuk berkhidmat dengan MDEC untuk menyokong dan mendorong misi Mencipta Semula bagi memastikan agensi ini menjadi yang terbaik. Mengambil keputusan untuk menyertai sektor awam dan meninggalkan sektor swasta untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara merupakan satu penghormatan besar kepada saya,” katanya.

– TAMAT –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah agensi kerajaan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diberi kepercayaan untuk memimpin ekonomi digital Malaysia ke hadapan.

Diperbadankan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif MSC Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan pelaburan digital di Malaysia. MDEC difokuskan untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Malaysia 5.0 serta pantas bergerak ke arah menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKeHadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif Ekonomi Digital MDEC, sila kunjungi kami di www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi ;
Dashika Gnaneswaran [email protected]
Simon Yap – [email protected]