16.07.2021
Kategori: 2021, industry

MDEC Umum Pelantikan Mohamad Zakkuan Talib, Pengarah SPRM Negeri Sembilan sebagai Pengarah Integriti & Pematuhan (Pegawai Integriti Bertauliah)

  • Pelantikan Mohamad Zakkuan, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpengalaman 22 tahun dalam penyiasatan am, pendakwaan, pentadbiran dan penyiasatan akaun forensik untuk melengkapi misi ‘Mencipta Semula’ MDEC

CYBERJAYA, 16 JULY 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama meneraju transformasi ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan pelantikan Mohamad Zakkuan bin Talib sebagai Pegawai Integriti Bertauliah untuk melengkapkan misi ‘Mencipta Semula’ demi memastikan MDEC beroperasi dengan tahap integriti dan tadbir urus yang tinggi di setiap peringkat organisasi. MDEC juga telah menandatangani Pengisytiharan Ikrar Bebas Rasuah pada bulan Mac 2021.

Mohamad Zakkuan, merupakan lepasan Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universiti Teknologi MARA, memulakan kerjayanya pada tahun 1999 sebagai Ketua Unit Siasatan SPRM Perlis. Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam pelbagai jawatan pegawai kanan atau ketua jabatan, sepanjang perkhidmatan beliau di SPRM. Sebelum dilantik ke jawatan Pegawai Integriti Bertauliah di MDEC, beliau merupakan Ketua Jabatan di SPRM Negeri Sembilan.

Beliau akan bertanggungjawab untuk menerajui dan memacu pelaksanaan dan keberkesanan Jabatan Integriti dan Pematuhan (IGD) serta melaksanakan pelbagai inisiatif demi membendung sebarang salah laku dan pelanggaran tatakelakuan dalam syarikat. Mohamad Zakkuan juga akan bertindak sebagai pegawai perhubungan dan menggerakkan jawatankuasa bebas untuk membantu Lembaga Pengarah memastikan toleransi sifar dalam kemungkinan berlakunya rasuah, penipuan, penyelewengan dan tingkah laku tidak beretika dalam organisasi.

“Mohamad Zakkuan adalah pelengkap kepada misi ‘Mencipta Semula’ di MDEC dan membolehkan kami beroperasi dengan penuh berintegriti dengan urus tadbir yang baik. Pelantikan beliau memastikan MDEC dapat menjalankan amanah dalam pendigitalan negara tanpa mengira kaum, kepercayaan mahupun pengaruh dan berkhidmat kepada semua agar masyarakat kita terintegrasi dengan teknologi berpaksikan inklusiviti dan kesamarataan, sejajar dengan Malaysia 5.0,” menurut Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

Tugas utama Mohamad Zakkuan termasuk memberi khidmat nasihat kepada Pengurusan Kanan MDEC dan Lembaga Pengarah mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan tadbir urus dan integriti. Beliau juga akan menasihati dan memantau pengesanan, penilaian dan pengesahan terhadap laporan aduan mengenai salah laku, rasuah dan pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan yang sesuai dapat diambil. Mohamad Zakkuan juga akan menjadi penghubung kepada pelbagai pihak berkuasa dan menanamkan budaya ketelusan dalam kalangan tenaga kerja demi melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Ketelusan, akauntabiliti dan integriti merupakan sifat yang amat diperlukan dalam semua organisasi dan MDEC telah mengambil langkah kehadapan serta memastikan kami akan terus melaksanakan tadbir urus yang tinggi menerusi pelantikan Mohamad Zakkuan. Pelantikan ini melengkapkan misi ‘Mencipta Semula’ dan kami harap dapat mencapai matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan memastikan pertumbuhan yang saksama dan mampan untuk negara kita sepertimana yang termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

“Saya akan terus berkhidmat untuk negara dan dengan pelantikan ini dapat membuka peluang keemasan kepada saya untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman demi meningkatkan tadbir urus terbaik kepada organisasi yang sangat signifikan dalam ekonomi digital negara. Saya juga berikrar untuk memastikan tiada sebarang toleransi ke atas penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan serta akan berkhidmat dengan adil dan saksama demi kemakmuran Malaysia,” kata Mohamad Zakkuan.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC membawa agenda Malaysia 5.0, membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan saksama kepada rakyat dan perniagaan.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. MDEC mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing tinggi dari segi digital di peringkat global, berpandukan inklusif, kelestarian, dan kemakmuran bersama dan menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #MHODA #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut melalui inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my atau ikuti kami di:

Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]