11.04.2022
Kategori: industry, investors

MDEC DAN MTDC METERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN, PERCEPAT PERTUMBUHAN SYARIKAT TEKNOLOGI MALAYSIA

CYBERJAYA, 11 APRIL 2022: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), peneraju ekonomi digital Malaysia, dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh pakatan dan kerjasama antara dua agensi kerajaan berkenaan dengan sasaran untuk memangkinkan pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata platform dan kepakaran setiap organisasi akan dimanfaatkan dan menjadi teras utama kerjasama ini dalam usaha merealisasikan objektif kami.

“Bagi MDEC program di bawah inisiatif Malaysia Digital dan #SayaDigital akan memainkan peranan membantu lebih ramai khalayak dalam usaha memacu pendigitalan negara dan menerusi MoU ini, kami dapat memastikan bukan sahaja capaian, kecekapan serta impak yang lebih baik kepada ekosistem teknologi kita malahan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital,” kata Mahadhir lagi.

“MoU ini akan menyokong pembangunan ekosistem untuk syarikat Malaysia terus berkembang maju. Persaingan untuk melahirkan juara global yang berjaya adalah tanggungjawab bersama dan MoU ini bukti pendekatan holistik Malaysia. Menerusi inisiatif ini, kami mampu bergerak sebagai satu negara untuk memacu objektif utama dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” tambahnya lagi.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Dato’ Norhalim Yunus berkata, MoU ini akan menjadi platform kepada MTDC Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi di bawah MDEC iaitu ahli komuniti MTDC Co9P yang membantu syarikat dalam sektor Revolusi Perindustrian 4.0 dan digital.

“Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat di bawah MDEC merupakan sebahagian daripada usaha kami mengembangkan Co9P ke kawasan lain di Malaysia dan menawarkan peluang untuk membina hubungan dengan rakan kongsi globalnya melalui khidmat nasihat perniagaan dan MDEC sebagai rakan kongsi strategik kami,” tambahnya lagi.

MDEC dan MTDC berpeluang mencatatkan pencapaian yang lebih ketara berdasarkan rekod kejayaan sejak penubuhan MTDC pada 1992 dan MDEC pada 1996.

Menerusi MoU ini, MDEC dan MTDC akan berusaha membangunkan program pembangunan usahawan berasaskan teknologi secara bersama serta mempromosikan teknologi digital dan adaptasi dalam kalangan syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil sederhana (PKS).

Selain membuka lebih banyak kemudahan pembiayaan dan peluang kepada syarikat teknologi, kerjasama antara MDEC dan MTDC ini akan mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan secara sinergi bagi memastikan capaian dan impak yang maksimum.

TAMAT

—-

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

dan

Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi ekonomi digitak sejak 25 tahun lalu. Kami menyasarkan untuk membolehkan ekonomi digital yang progresif dan dipacu inovasi.

MDEC juga akan terus menerajui Malaysia ke arah menjadi negara digital yang kompetitif di peringkat global menerusi pembangunan dan pelaksanaan Malaysia Digital yang bermatlamat untuk mewujudkan limpahan ekonomi digital yang bernilai tinggi menerusi akses yang saksama kepada alatan, pengetahuan dan peluang pendapatan digital.

Berdasarkan rangka kerja baharu yang dibina di atas tiga komponen utama – Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan – Malaysia Digital dirangka untuk meningkatkan cadangan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

#SayaDigital #MalaysiaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]

 

Mengenai MTDC

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang telah ditubuhkan pada bulan Mac 1992, adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad. Sebagai syarikat pelaburan strategik, MTDC melalui kepakaran, pengalaman serta perkhidmatannya membantu syarikat-syarikat naungannya merealisasikan potensi mereka sebagai syarikat bertaraf dunia. Perkhidmatan MTDC disalurkan melalui Technopreneur Training Academy (TENTRA), Centre of 9 Pillars (Co9P), pusat-pusat inkubator, pendanaan serta khidmat nasihat.

Untuk maklumat lanjut, layari www.mtdc.com.my

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Jabatan Komunikasi MTDC

Alvirah Mohd Natt – 017 212 2802; [email protected]

Yuhaini Othman     – 019 319 9953l; [email protected]