08.09.2021
Kategori:

MDEC dan EasyStore Melancarkan Kempen Pilih Malaysia Bantu Perniagaan Tempatan Berkembang ke Taiwan

CYBERJAYA, 8 SEPTEMBER 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), iaitu agensi utama dalam memimpin ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan kerjasama dengan EasyStore untuk melancarkan Kempen Pilih Malaysia (melalui platform membeli-belah Malaysia-Taiwan) bagi membantu perniagaan tempatan memasuki dan berkembang di Taiwan.

Kempen ini akan bermula pada 1 hingga 10 Oktober 2021 dan mendapat sokongan daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Perdagangan Taiwan, Exabytes, EasyParcel dan Janio. Kempen penjualan dalam talian ini juga mensasarkan untuk memberi sokongan kepada sekurang-kurangnya 800 perniagaan tempatan untuk meningkatkan jualan sebanyak 30 peratus selain mendapat pendedahan jenama yang ketara di negara berkenaan.

“Inisiatif awam-swasta seperti ini sangat penting kerana kita sedang berusaha untuk mengembangkan Malaysia sebagai negara yang terkehadapan dalam e-dagang dan bukan sekadar sebagai pengguna sahaja. Ini selaras dengan Pelan Halatuju Strategik e- Dagang 2.0 (NESR 2.0) yang bertujuan untuk meletakkan negara kita sebagai pasaran e-dagang terbesar di rantau ASEAN-6 menjelang 2025.

“MDEC turut berhasrat  untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan e-dagang di Malaysia serta mahu menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan rakyat. Menerusi usaha sama, kita akan dapat mencapai matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan bergerak maju ke arah penubuhan sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, berdasarkan inklusiviti, kelestarian dan kemakmuran bersama serta dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” kata Aiza Azreen Ahmad, Ketua Pegawai Perniagaan Digital, MDEC.

MDEC dan EasyStore kini dalam proses rundingan dengan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Perdagangan Taiwan bagi menyediakan program awal untuk perniagaan tempatan yang berminat untuk memperkenalkan jenama dan memasarkan produk dan perkhidmatan ke segmen pasaran baharu di Taiwan.

“Kami teruja kerana berkongsi visi yang sama dengan MDEC dalam memberi sokongan berterusan kepada perniagaan tempatan untuk menyertai e-dagang. Sehubungan itu, kami berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan proses penjualan menggunakan platform e-dagang dan akan melengkapkan perniagaan tempatan dengan kemampuan untuk mengeksport. Menerusi kerjasama dan kempen ini, kita dapat membantu perniagaan tempatan untuk mencapai jualan yang lebih besar dan berdaya saing di peringkat global,” kata Alan Kok, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Pengembangan Perniagaan Kedai Mudah.

Sesi webinar juga akan dijalankan untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan tips pemasaran untuk memasuki pasaran Taiwan.

Semua perniagaan tempatan dijemput untuk mendaftar dan mengambil bahagian. Tarikh permohonan untuk menjadi sebahagian dari Malaysia Select kini sedang berlangsung sehingga 31 September 2021 (11.59 malam)  di www.malaysiaselect.asia.

Perniagaan yang masih belum beroperasi secara dalam talian juga boleh memulakan perjalanan e -dagang melalui rancangan saluran penjualan tunggal EasyStore tanpa sebarang kos. Perniagaan juga dapat meningkatkan dan menyesuaikan operasi berdasarkan keperluan mereka.

Pada akhir 2020, lebih daripada 489,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro menggunakan e-dagang manakala sebanyak 378,000  PKS telah dilatih. PKS yang telah berjaya mengeksport produk juga meningkat kepada 27,000 berbanding 1,800 sebelumnya. Sektor ini juga menarik pelaburan bernilai RM1.5 bilion menerusi penubuhan hab e-fulfillment serantau.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC menetapkan sasaran untuk mengintegrasikan negara dengan teknologi, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan sama rata kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]