02.04.2021
Kategori: 2021, AgTech, industry, people

MDEC & CIMB Islamic Meterai MoU Untuk Sediakan Pembiayaan Mikro RM25 Juta Untuk Pertanian Digital

  • Kerjasama ini akan membolehkan para petani melangkah ke arah pertanian digital menggunakan AI, IoT dan BDA
  • Menawarkan kadar keuntungan berpatutan membabitkan kemudahan pembiayaan pertanian, industri pertanian di Malaysia akan mendapat sokongan dan jangkaan peningkatan tepat pada masanya

Cyberjaya, 2 April 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan CIMB Islamic hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperluas program pembiayaan mikro dengan peruntukan RM10 juta sebagai pakej pendanaan awal untuk memangkin Teknologi Pertanian Digital (Digital Agtech) di Malaysia. Peruntukan ini berpotensi untuk ditingkatkan kepada RM25 juta setelah program ini mula dilaksanakan.

MDEC yang telah lama menyokong pendigitalan sektor pertanian melalui konsep kerjasama awam swasta dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) sebelum ini melaksanakan projek perintis pada 2018 bertujuan untuk meningkatkan hasil dan kualiti tanaman menggunakan teknologi terkini. Menerusi kerjasama berkenaan, petani kawasan itu didedahkan dengan penggunaan sistem fertigasi berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang telah membantu mereka mengurangkan penggunaan baja bulanan sebanyak 20 peratus, menurunkan tenaga kerja bulanan sebanyak 25 peratus dan meningkatkan kualiti hasil (cili Gred A) hingga 90 peratus.

Kemuncak usaha sama ini, MoU yang ditandatangani hari ini menyaksikan penglibatan CIMB Islamic bagi meluaskan lagi inisiatif ini ke seluruh negara secara berskala besar bagi menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara. Kemudahan ini akan mengurangkan kesukaran dihadapi petani Malaysia untuk memulakan perjalanan digitalisasi dan seterusnya memacu peningkatan, kemajuan dan pengoptimuman bagi pertumbuhan sektor pertanian secara keseluruhan.

Inisiatif Digital utama terkini oleh MDEC seperti program eLadang telah berjaya menarik 548 peserta sehingga Disember 2019. Daripada jumlah ini, 78 petani telah menggunakan teknologi pertanian digital yang menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 20 peratus dan pendapatan mereka turut melonjak 30 peratus. Ia juga menyaksikan petani berjaya mengurangkan kos operasi sebanyak 30 peratus. Selain itu, tiga makmal digital juga diwujudkan untuk melatih, mengiktiraf dan mendorong penggunaan teknologi digital dalam pertanian.

“Pada 2020, digital telah menjadi fokus utama perniagaan. Titik kritikal ini penting bukan hanya untuk perniagaan tetapi juga melibatkan sektor pertanian. Ini merupakan teras penting bagi MDEC dan CIMB Islamic kerana berjaya memperkenalkan akses kepada teknologi terkini seperti IoT, kecerdasan buatan (AI) dan analitis data raya (BDA) kepada para petani dan seterusnya mendigitalkan sektor ini. Ini sejajar dengan jangkaan kadar pertumbuhan sebanyak 30 peratus untuk produktiviti. Perkembangan hari ini sangat penting bagi memastikan teknologi digital akan dapat diaplikasi dengan cepat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memajukan ekonomi digital yang sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang diperkenalkan kerajaan. Kerjasama ini merupakan permulaan untuk langkah seterusnya ke arah mengubah sektor pertanian kepada pendigitalan di peringkat nasional,” kata YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

MoU ini menandakan langkah baharu berkaitan sokongan MDEC kepada inovasi pertanian dengan menerapkan teknologi digital terkini seperti AI, IoT dan analitis data raya untuk meningkatkan hasil dan kualiti tanaman. Menerusi kerjasama dengan CIMB Islamic yang menawarkan antara kadar keuntungan terendah dalam pembiayaan pertanian pada kadar 3.5 peratus setahun bukan hanya akan memberi manfaat kepada petani sedia ada tetapi juga akan mendorong lebih banyak anak muda untuk menyertai sektor ini.

Dengan berkembangnya penggunaan teknologi digital di sektor pertanian, peningkatan peluang pekerjaan dijangka mencecah 30 peratus menjelang 2025 .Penggunaan AgTech Digital secara meluas akan mendorong lebih banyak belia memasuki sektor ini di mana kemahiran mereka sangat diperlukan untuk mengurus dan melaksanakan inovasi yang dirancang. Menerusi projek perintis eLadang MDEC, 70 peratus daripada 548 peserta yang dilatih hingga Disember 2019 terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

“Kerjasama MDEC dan CIMB Islamic akan membuka laluan pertumbuhan baharu bagi petani ketika mereka mula menyertai ekonomi digital dan memperoleh lebih banyak faedah dalam situasi gangguan yang wujud ketika ini. Ini seterusnya akan mendorong lebih banyak anak muda menceburkan diri ke dalam sektor pertanian bagi terus menyuburkan industri pertanian negara. Usaha sama ini membolehkan para petani menggunakan pendekatan digital dan menikmati faedah yang ditawarkan oleh sektor pertanian terutamanya membabitkan peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan pertanian selaras dengan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2021,” tambah YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Kedua-dua menteri hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU membabitkan MDEC dengan CIMB Islamic. Dalam majlis ini, MDEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri manakala Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff mewakili bank berkenaan.

“Kerjasama awam swasta ini menandakan langkah penting dalam usaha berterusan MDEC untuk memperkasakan ekonomi Malaysia secara digital. Dengan memanfaatkan kekuatan kemajuan terbaharu yang ditawarkan oleh AI, IoT dan BDA, kita dapat membangunkan ekosistem AgTech yang cergas untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, kos pengeluaran yang kompetitif, meningkatkan pendapatan petani dan menjadikan bidang pertanian menarik bagi para belia. Ini juga memastikan kita dapat menjaga keselamatan dan kedaulatan makanan negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan pada makanan import. Menerusi projek perintis MDEC, hasil tanaman petani terlibat telah menyaksikan peningkatan kualiti 22% dan pengurangan keseluruhan kos operasi sebanyak 30%. Pendapatan mereka juga meningkat 33%. Menerusi kerjasama dengan CIMB Islamic hari ini, kita dapat membawa inisiatif ini ke seluruh negara dan memodenkan sektor pertanian dengan segera dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk manfaat pelbagai pihak sejajar dengan MyDIGITAL dan Malaysia 5.0,” kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi, MDEC.

Menerusi MoU ini, CIMB Islamic akan memberikan sokongan dana dan insentif untuk membantu transformasi digital sektor pertanian melalui penggunaan digital secara besar-besaran. Bank berkenaan juga akan terus menyokong MDEC dan bekerjasama secara progresif dengan rakan industri yang relevan untuk meningkatkan penggunaan AI, IoT dan BDA dalam pertanian.

“CIMB Islamic teruja kerana dapat meluaskan sokongan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan komuniti petani B40. Dengan memanfaatkan teknologi digital dalam pertanian, kami dapat membantu petani ini berjaya. Kerjasama dengan MDEC ini menyasarkan seramai 500 petani yang mengambil bahagian pada fasa awal bagi meningkatkan status ekonomi mereka serta memberi semangat dan menjadi daya tarikan bagi golongan belia untuk menyertai sektor ini sekaligus meningkatkan prospek masa depan sektor pertanian Malaysia. Pelaksanaan program ini bertepatan dengan semangat inovasi dan pendigitalan oleh Kumpulan juga mengutamakan amalan perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang menghasilkan kesan positif dan lestari kepada ekonomi, masyarakat dan persekitaran,” kata Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic.

“Sokongan yang diberikan oleh MDEC dan CIMB Islamic sangat penting kepada petani dan sektor pertanian. Semasa program perintis Digital Agtech dilancarkan dengan MDEC pada 2018, ia bertujuan untuk memastikan teknologi dapat diakses dengan lebih mudah oleh petani di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL). Empat tahun kemudian, kita menyaksikan semakin ramai petani menerapkan penggunaan inovasi baharu ini malah lebih mengujakan, golongan belia juga kini telah mendekatkan diri dengan sektor pertanian kerana mereka melihat peluang dan potensi pertumbuhan yang ditawarkan. Sokongan untuk pendigitalan pertanian membolehkan para petani meningkatkan operasi serta mengembangkan kemampuan digital masing di samping meningkatkan kemahiran,” kata Dr Hj. Abdul Razak Kasbollah, Pengerusi, PPKKL.

Melalui perkongsian ini, MDEC dan CIMB Islamic Bank Bhd akan terus menyokong inisiatif pendigitalan membabitkan keseluruhan sektor pertanian. Ini termasuklah ekosistem penawaran dan permintaan lebih meluas, pemegang kepentingan utama, pemain industri serta pengguna akhir dan pengguna di seluruh pasaran.

Muat turun PDF

– Tamat –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

About CIMB
CIMB adalah salah satu kumpulan perbankan terkemuka di ASEAN dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia, berdasarkan aset. Didaftarkan di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, ia memiliki modal pasaran sekitar RM43.5 bilion pada 31 Disember 2020. Ia menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan borong, perbankan transaksi, perbankan Islam dan pengurusan aset. Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Kumpulan ini hadir di semua 10 negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Brunei, Vietnam, Myanmar, Laos dan Filipina). Di luar ASEAN, Kumpulan mempunyai kehadiran di China, Hong Kong, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

CIMB merupakan salah satu bank yang mempunyai cawangan paling luas di ASEAN iaitu sebanyak 668 cawangan dan mempunyai pekerja sekitar 34,000 pekerja sehingga 31 Disember 2020. Bahagian pelaburan perbankan Kumpulan adalah salah satu bank pelaburan berpusat di Asia Pasifik yang menawarkan liputan penyelidikan komprehensif membabitkan sekitar 950 saham di rantau ini melalui usaha sama CGS-CIMBnya. CIMB juga merupakan pemegang saham 92.5% Bank CIMB Niaga di Indonesia dan 94.8% pemegang saham CIMB Thai di Thailand.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected] atau
Simon Yap – [email protected]