01.04.2021
Kategori: 2021, industry, people

MDEC Peruntukkan RM14 Juta kepada 70 PKS dan Syarikat Pemula untuk Mengukuhkan Ekosistem Digital

Cyberjaya, 2 April 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan agensi tersebut telah meluluskan geran bernilai RM10.5 juta yang memberi manfaat kepada 50 perusahaan kecil sederhana (PKS) dan syarikat pemula. Sebagai tambahan, MDEC juga dalam proses untuk pembahagian geran bernilai RM3.5 juta kepada 20 penerima yang kebanyakkannya daripada industri kreatif digital.

Pembahagian geran tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif MDEC di bawah Geran Kandungan Digital (DCG) dan Geran Automasi Pintar (SAG) yang telah direka khusus bagi menggalakkan PKS dan syarikat pemula untuk menggunapakai perkhidmatan dan teknologi digital yang mampu meningkatkan produktiviti dan kelestarian perniagaan.

Menerusi MDEC, kerajaan telah menawarkan geran bagi menggalakkan inovasi, menyokong lebih banyak penciptaan harta intelek dan meningkatkan penggunaan automasi perniagaan yang akan menyokong pertumbuhan positif ekonomi digital Malaysia.

“MDEC akan terus menerajui dan memacu agenda digital negara. Menerusi inisiatif geran ini, kami bukan sahaja dapat memberi bantuan demi menjamin kelestarian perniagaan PKS dan syarikat pemula, malah melengkapkan mereka dengan peralatan yang sewajarnya, platform dan kemahiran yang diperlukan untuk mereka berinovasi dan meluaskan perniagaan mereka dengan lebih jauh. Geran ini adalah bukti kepada komitmen berpanjangan kami agar tiada siapa yang akan ketinggalan sepertimana objektif di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Malaysia 5.0,” memetik kenyataan YB Datuk Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

Selain memperkasakan penggunaan teknologi dalam kalangan perniagaan tempatan, inisiatif pembiayaan ini adalah sebahagian daripada tiga tonggak kerangka kerja strategik iaitu Pekerjaan dan Kemahiran Digital, Perniagaan Digital dan Pelaburan Digital. MDEC akan terus mengukuhkan asas untuk PKS dan syarikat pertengahan untuk berkembang pesat di era Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menyokong perniagaan merentasi pelbagai peringkat dan sektor seperti Teknologi Kewangan (Fintech), Kesihatan (Healthtech), Pembuatan (Manufacturing Tech) dan Pendidikan (Edtech) antara lainnya.

“Sejak ditubuhkan pada 1996, MDEC beriltizam menyediakan kepimpinan yang berterusan untuk memangkin dan memacu ekonomi digital ke hadapan. Kami akan sentiasa memenuhi keperluan industri dan bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti dan kemudahan kami demi mencapai masyarakat yang terintegrasi secara teknologi sepertimana yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysa (MyDIGITAL). Saya berasa sangat yakin, dengan pertambahan geran ini, PKS dan syarikat pemula akan meningkatkan momentum dan bergerak ke hadapan walaupun dalam keadaan yang getir ketika ini,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Demi memenuhi perkembangan ekonomi digital, MDEC telah melaksanakan misi ‘Mencipta Semula’ bagi proses pengurusan geran untuk memastikan pembahagian geran ditambah baik. Ini termasuk pendigitalan pengurusan dan pentadbiran geran agar ketelusan serta amalan governans terbaik sentiasa terpelihara.

Sejajar dengan misi tersebut, MDEC akan terus menilai dan membuat pengumuman lebih ramai penerima geran yang telah berjaya dari semasa ke semasa. MDEC membuat pembahagian geran yang telah dilulus mengikut kumpulan penerima berdasarkan bukti pencapaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) sepertimana tertakluk dalam inisiatif SAG dan DCG.

Perniagaan tanpa mengira peringkat dan saiz adalah digalakkan untuk mengikuti pelbagai inisiatif dan sokongan yang ditawarkan oleh MDEC. Ini termasuk geran yang kini disediakan mengikut pelbagai industri.

Untuk maklumat lanjut mengenai geran yang ditawarkan oleh MDEC, sila layari https://mdec.my/grant/, atau boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MDEC (CliC) di talian 1-800-88-8338/ [email protected]

Muat Turun PDF

###

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi: Dashika Gnaneswaran – [email protected] Simon Yap – [email protected]