29.11.2021
Kategori: industry, investors, people

Malaysia Tawar Potensi Besar untuk Pelaburan Teknologi Pertanian

  • Malaysia ketika ini memiliki pertumbuhan ekosistem teknologi pertanian yang mantap hasil daripada peningkatan fokus kepada keselamatan dan kebolehkesanan makanan
  • MDEC telah membina asas yang kukuh untuk ekosistem teknologi pertanian (AgTech) dan memacu pelaburan digital dalam sektor ini menerusi Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5)

 

Petani cili di bawah pemantauan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) kini telah memperoleh hasil daripada pelaburan mereka menerusi teknologi pertanian (AgTech) digital.

Melalui pengadaptasian Internet untuk Segalanya (IoT) dalam sistem pembajaan, petani berkenaan telah memperoleh manfaat menerusi hasil yang menggalakkan seperti penambahbaikan produktiviti dan pendapatan lebih 20 peratus serta pengurangan kos operasi lebih 30 peratus – ini menjadi pemangkin utama untuk petani mengadaptasi Digital AgTech.

Paling penting, mereka telah mencatatkan peningkatan kualiti hasil cili Gred A, secara purata sehingga 90 peratus, yang secara langsung telah memberi impak positif kepada keseluruhan kehidupan mereka.

Tanaman ini merupakan sebahagian daripada projek perintis yang dimulakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menerusi kerjasama awam-swasta dengan PPKKL.

Kerjasama di bawah program eLadang MDEC ini melibatkan pemegang taruh dan rakan ekosistem utama dengan tujuan untuk menunjukkan bagaimana pengadaptasian digital boleh memperkasa dan mentransformasi sektor pertanian serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Ini juga merupakan petunjuk bahawa Malaysia adalah lokasi terbaik untuk pelaburan AgTech. Adaptasi teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) masih belum meluas dalam sektor pertanian di Malaysia, tetapi pembangunan asas untuk mengembangkan ekosistem AgTech telah dilakukan, dengan syarikat teknologi bersedia untuk menerima manfaatnya.

Kerajaan Malaysia telah memberi fokus yang tinggi terhadap pembangunan Digital AgTech. Berdasarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), pertanian telah dikategorikan sebagai industri yang akan menyumbang kepada ekonomi digital.

Sebagai agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, MDEC telah memacu pengembangan dan perluasan AgTech ke dalam ekonomi. Berdasarkan pengumuman rasmi baru-baru ini yang menjadikannya sebagai sebahagian daripada pakej PEMULIH, bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Pelan Pemulihan Negara, program eLadang telah ditingkatkan peranannya kepada pemacu agenda pendigitalan dan transformasi dengan kerjasama pemegang taruh utama ke arah memangkinkan adaptasi Digital AgTech.

Ini bukan semata-mata berkenaan memacu adaptasi Digital AgTech di negara ini, malah ia juga berperanan memupuk ekosistem AgTech yang mantap, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada petani, tetapi juga memupuk inovasi dan penginovasi.

Pada April 2021, MDEC telah bekerjsama dengan CIMB Islamic Bank Berhad untuk memperkenalkan program pembiayaan mikro kepada petani. Menerusi peruntukan sebanyak RM10 juta sebagai pakej pembiayaan awal, program pembiayaan mikro berkenaan telah membolehkan petani beralih ke arah pertanian digital masa depan dengan menggunakan IoT, Analisis Data Raya (BDA) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Baru-baru ini, MDEC telah bekerjasama dengan platform pembiayaan patuh Syariah Peer-to-Peer (P2P), microLEAP dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) untuk menyediakan pembiayaan mikro patuh Syariah berjumlah RM10 juta kepada komuniti pertanian Malaysia, untuk memacu adaptasi Digital AgTech. Ia juga untuk membantu industri pertanian tempatan dalam mengadaptasi penyelesaian masa depan dengan sokongan ekosistem pembiayaan.

Bagi mempersiapkan petani digital generasi masa depan, MDEC telah bekerjasama dengan institusi awam dan swasta menerusi Universiti Teknologi Digital Perdana dan Politeknik yang dikenali sebagai Institut Teknologi Digital Perdana (PDTIs), dengan menerapkan program industri dan latihan berkaitan 4IR.

Selain itu, MDEC telah menambah baik kerjasama dengan jenama AgTech global seperti Trapview, AgDraft, EarthSense, Trace, AgriWebb dan Soft Robotics dalam aktiviti promosi, pelaburan, latihan, menggabungkan teknologi 4IR dan pemindahan pengetahuan berkaitan AgTech.

“Ekosistem AgTech yang dibina oleh MDEC merangkumi bekalan bakat yang mampan, pilihan pembiayaan konvensional dan alternatif serta perkongsian pengetahuan daripada penggiat AgTech global. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada industri pertanian dengan membuka laluan kepada transformasi digital malah mewujudkan persekitaran yang berpotensi besar untuk menarik pelaburan AgTech.

“Untuk ekosistem Digital AgTech terus berdaya maju, ia memerlukan penglibatan penggiat tempatan dan luar negara. MDEC sedar cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam bidang teknologi baharu muncul seperti AgTech dan telah melaksanakan pelbagai strategi untuk menangani kebimbangan dan melaksanakan pendekatan bersasar untuk membawa pelaburan AgTech ke Malaysia,” kata Raymond Siva, Naib Presiden Kanan, Pelaburan & Jenama dan Ketua Pegawai Pemasaran, MDEC.

AgTech merupakan salah satu daripada lima sektor industri yang dikenal pasti sebagai pemacu utama ekonomi digital di bawah Strategi Pelaburan Masa Depan5 (DIF5) MDEC, yang mana pelan lima tahun berkenaan memberi fokus kepada lima teras yang menyasarkan menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Antara matlamat lain, DIF5 juga menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion dalam ekonomi digital dan menarik 50 buah syarikat teknologi berstatus Fortune500 untuk melabur dan berkembang di Malaysia, selaras dengan matlamat yang ditetapkan dalam MyDIGITAL.

Oleh itu, MDEC memiliki beberapa inisiatif yang akan membantu syarikat AgTech yang merancang untuk melabur di Malaysia. MDEC bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memperkenalkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO), sebuah platform digital sepenuhnya yang berperanan sebagai saluran tunggal untuk mengkoordinasi dan memudahkan semua pelaburan digital, membolehkan ia mudah dan mesra pelabur untuk menghantar permohonan pelaburan.

Inisiatif MSC Malaysia terus menyediakan insentif dan manfaat kepada syarikat AgTech untuk membuka operasi di negara ini. Selain itu, Program Keusahawanan Teknologi Malaysia (MTEP) MDEC menyediakan pas yang membolehkan usahawan teknologi dan pelabur luar negara bekerja atau melabur di negara ini. Usahawan dan pelabur sedia ada boleh memperoleh pas setahun atau lima tahun untuk membuka operasi atau berkembang di Malaysia.

“Terdapat peluang-peluang yang membolehkan Malaysia untuk memperkasa inovasi komuniti AgTech. Jika dimanfaatkan dengan baik, ekosistem akan menambah baik produktiviti pertanian negara, mengukuhkan sekuriti makanan dan membantu mempromosikan produk pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa. Potensi untuk berkembang adalah tidak terhad,” jelas Siva.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif AgTech MDEC, sila layari https://mdec.my/eladang/

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]