27.04.2021
Kategori: 2021, E-Commerce, industry, investors, NESR, NESR 1.0

Malaysia tersenarai antara pasaran e-Dagang terkemuka di ASEAN

  • Pertumbuhan pesat didorong inisiatif bersasar oleh Kerajaan dan penerapan e-Dagang yang mantap
  • Disokong oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Pelan Halatuju Strategik e-Dagang (NESR 2.0) bertujuan menjadi pemangkin pertumbuhan seterusnya untuk sektor e-Dagang di Malaysia
  • Menyasarkan 875,000 penggunaan e-Dagang oleh PKS dan mikro tempatan di bawah MyDIGITAL yang seterusnya mendorong permintaan dan pertumbuhan pengguna untuk produk tempatan

CYBERJAYA, 27 APRIL 2021: Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-Dagang utama di ASEAN berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah USD 11.4 bilion pada tahun lalu iaitu peningkatan enam peratus dari tahun ke tahun. Jumlah berkenaan seterusnya dijangka akan terus meningkat kepada USD 30 bilion pada 2025 seperti Laporan e-Conomy SEA 2020 oleh Google, Temasek dan Bain & Company.

Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan pasaran e-Dagang Malaysia di ASEAN, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) susulan pencapaian NESR 1.0. MDEC diberi kepercayaan untuk menerajui Pejabat Pengurusan Projek NESR 2.0 dengan mandat untuk mengawal selia keberhasilan pelaksanaan NESR 2.0.

“Kejayaan NESR 1.0 mencerminkan potensi e-Dagang di Malaysia yang sangat besar. MDEC bertekad untuk terus mendorong usaha meningkatkan pasaran e-Dagang tempatan sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,”kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

Kerajaan pada masa sama sangat menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro untuk menyertai pasaran e-Dagang bagi merebut peluang besar di peringkat global. NESR 2.0 memberi fokus kepada penglibatan syarikat tempatan, PKS dan usahawan mikro dengan menyasarkan sebanyak 875,000 perniagaan kategori ini untuk menerapkan e-Dagang dalam operasi mereka menjelang 2025 sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL). NESR 2.0 yang diterajui oleh MDEC dengan kerjasama erat bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menguruskan maklum balas dan cabaran yang dihadapi oleh pemain dan industri tempatan.

Menerusi NESR 2.0 juga, sebanyak 11 kementerian dan agensi termasuk MITI, KKMM, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MDEC bekerjasama erat bersama pemain industri tempatan utama untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Sehingga hujung tahun lalu, lebih daripada 489,000 PKS dan mikro telah menerapkan e-Dagang manakala 378,000 PKS telah dilatih dalam e-Dagang. Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.

Bagi memacu usaha ini, NESR 2.0 akan beroperasi bermula tahun ini hingga 2025, menyasarkan sebanyak 875,000 PKS dan mikro serta menggalakkan 84,000 penerapan eksport e-Dagang dan meningkatkan pendapatan purata bagi setiap pengguna kepada RM9,500. Objektif utama ini adalah selari dengan Teras Kedua dalam MyDIGITAL iaitu meningkatkan daya saing ekonomi menerusi pendigitalan dan Teras Kelima iaitu menyasarkan untuk mencipta masyarakat yang terangkum dengan digital. Pada masa sama, objektif tersebut adalah selari dengan agenda Malaysia 5.0 yang ingin memperkasakan masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi berdasarkan pertumbuhan yang inklusif, mampan dan adil.

Sebanyak 639 organisasi dan individu telah terlibat sebagai sebahagian daripada kajian pasaran utama MDEC dalam penubuhan NESR 2.0 yang dijalankan pada tahun 2020 ketika pandemik sedang memuncak. Ini termasuk 196 syarikat, 18 pertubuhan industri serta 40 Kementerian dan agensi kerajaan.

NESR 2.0 akan dipandu oleh tiga objektif utama, iaitu untuk memperhebat penggunaan dan pertumbuhan e-Dagang, untuk meningkatkan pembangunan ekosistem dan memperkukuhkan persekitaran polisi dan peraturan Enam Teras Strategik telah dikenalpasti menggalakkan intervensi dari Penerapan, Eksport, Penyampaian, Inovasi, Data kepada Polisi dan Peraturan.

Muat Turun PDF

###

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]