04.07.2022
Kategori: industry, investors, people

MALAYSIA DIGITAL DISETUJU UNTUK MEMPERCEPAT PERTUMBUHAN EKONOMI DIGITAL

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2022 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini melancarkan Malaysia Digital, iaitu sebuah inisiatif yang memacu pertumbuhan ekonomi digital negara untuk manfaat Keluarga Malaysia.

Malaysia Digital yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital, merupakan inisiatif strategik nasional oleh Kerajaan dalam menggalakkan dan menarik syarikat, bakat serta pelaburan bagi membolehkan perniagaan dan rakyat memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dunia.

Inisiatif yang merupakan kesinambungan kepada MSC Malaysia ini telah memainkan peranan penting dalam mentransformasikan ekonomi negara kepada berasaskan pengetahuan sejak 1996 dan ditambah baik berdasarkan rangka kerja Malaysia Digital untuk terus mengukuhkan keupayaan digital negara dan melonjakkan ekonomi digital.

Malaysia Digital akan membolehkan Malaysia lebih bersedia dalam mendepani persekitaran ekonomi yang dinamik dan membantu dalam memperkasa asas negara digital menjadi lebih kukuh dan impaknya akan memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan, Kerajaan dan negara.

Sehubungan itu, bagi mencapai hasrat tersebut, peranan industri akan turut diberi keutamaan sama penting dalam melaksanakan inisiatif Malaysia Digital dengan lebih berkesan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa berkata, Malaysia Digital merupakan cerminan usaha berterusan K-KOMM dan MDEC dalam memacu ekonomi digital Malaysia, selaras dengan visi Kementerian untuk menubuhkan suatu masyarakat yang bermaklumat, kreatif dan berbudaya digital.

“Transformasi digital negara dan rakyat akan terus menjadi keutamaan dalam inisiatif Kementerian kerana saya percaya teknologi digital bukan lagi visi masa depan, tetapi realiti masa kini. Pelancaran Malaysia Digital akan menjadi batu loncatan bagi ekonomi digital negara untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” tambah Tan Sri Annuar.

“K-KOMM dan MDEC akan menubuhkan sebuah platform khas kepada pihak industri untuk mengambil bahagian dan memberikan maklum balas mengenai Malaysia Digital dan akan melibatkan wakil sektor swasta yang terdiri daripada badan dan organisasi industri berkaitan,” tambah beliau.

Malaysia Digital dibangunkan untuk melaksanakan tiga keutamaan strategik iaitu membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; membantu syarikat teknologi tempatan menjadi ‘Juara Malaysia’ iaitu berjaya di peringkat antarabangsa; dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Untuk mencapai hasrat tersebut, Kerajaan melalui MDEC akan memperkenalkan dua Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) terawal iaitu DE Rantau dan Digital Trade.

Program DE Rantau bermatlamat untuk meningkatkan adaptasi digital, mempromosikan mobiliti profesional digital serta merancakkan pelancongan di seluruh negara, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan, manakala program Digital Trade pula akan memacu kesalingoperasian dan penyelarasan yang lebih baik dari segi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan tempatan merentasi sempadan.\

Pelaksanaan Malaysia Digital akan dipantau oleh Jawatankuasa Penyelarasan Digital Malaysia (MD-CC) yang berperanan untuk menyelaras tadbir urus dan operasi Malaysia Digital, termasuk pemberian status Malaysia Digital kepada syarikat yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata MDEC akan terus memacu dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara yang mampan dengan meletakkan MD sebagai inisiatif utama yang menyeluruh dalam menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

Malaysia Digital disokong oleh tiga pertimbangan utama iaitu Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi yang membantu membuka ruang lebih luas untuk perancangan semasa dan masa depan negara dan akan menambah lebih banyak PEMANGKIN dalam memenuhi keperluan dan permintaan pada masa depan.

Turut hadir ke pelancaran Malaysia Digital ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin; Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha K-KOMM, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek; Ketua-ketua Setiausaha Kementerian; serta Ketua Jabatan dan agensi di bawah K-KOMM.

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Perhubungan Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)