01.09.2021
Kategori: BUSINESS, industry, investors, people

Mahadhir Aziz terajui kepimpinan MDEC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu

Mahadhir Aziz terajui kepimpinan MDEC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, komited untuk terus memacu transformasi digital Malaysia

● Berhasrat untuk meningkatkan dan mengukuhkan peranan MDEC sebagai agensi utama untuk transformasi digital, ekonomi digital dan pelaburan digital
● Menggunakan pendekatan perundingan dan kata sepakat demi menjadikan Malaysia, negara peneraju digital serta Nadi Digital ASEAN.

CYBERJAYA, 1 SEPTEMBER 2021: Lembaga Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi yang menerajui transformasi negara, mengumumkan pelantikan Ts Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuatkuasa 1 September 2021.
Sebelum pelantikan ini, Mahadhir Aziz adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise sejak ia ditubuhkan pada 2017. Futurise, anak syarikat Cyberview sepenuhnya, merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia Sandbox Negara (National Regulatory Sandbox (NRS). Pada Mac 2020, Mahadhir dipilih sebagai ahli pengasas Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan.

Sebagai peneraju industri yang dikenali, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti Perkhidmatan Kewangan, Tenaga (Minyak dan Gas), Teknologi Maklumat dan Media, serta pernah berkhidmat di organisasi tempatan dan global seperti Deloitte Consulting, Kodak, PETRONAS dan AmInvestment Bank.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menerajui MDEC, yang ketika ini sedang meraikan ulang tahun jubli perak dan 25 tahun dalam memacu pertumbuhan sektor ICT dan ekonomi digital negara. Saya bersedia untuk mengukuhkan lagi asas MDEC dan misi ‘Reinvent’ (cipta semula) sebelum ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan yang berpengalaman di sini, dalam merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). Fokus kini tertumpu ke arah pelaksanaan, pengembangan pelaburan dan penyampaian manfaat ekonomi digital kepada Rakyat. Objektifnya sangat jelas – untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju digital dan Nadi Digital ASEAN,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

Berdasarkan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Kewangan, Mahadhir berkata, “Agenda pertama saya adalah untuk mengukuhkan peranan MDEC dalam merangka dasar ekonomi digital negara serta memacu impaknya secara keseluruhan. Ini termasuk menilai semula cara kami beroperasi berdasarkan rangka kerja tadbir urus dalam memastikan program dan geran sampai kepada penerima yang disasarkan. Selain itu, menyokong ekosistem dengan meningkatkan kecekapan operasi akan menjadi faktor penting dalam kejayaan ekonomi digital kami.”

“Mahadhir merupakan pemimpin yang disegani dan telah terbukti dalam memberikan impak penting terhadap organisasi terdahulu yang dipimpinnya. Berbekalkan latar belakang yang kuat dalam bidang teknologi dan digital, serta rekod prestasi cemerlang beliau, saya yakin beliau akan menerajui MDEC dalam memacu ekonomi digital negara, selari dengan aspirasi dalam memastikan kita terus menyediakan peluang digital yang adil dan saksama kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan, menepati agenda Malaysia 5.0,” kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

Untuk mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, Mahadhir menegaskan akan memacu kerjasama lebih erat dengan agensi-agensi dan kementerian lain untuk memberi manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan bersama Rakyat dalam usaha untuk memulihkan semula negara di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Mahadhir telah dilantik sebagai Pengurus Besar di Cyberview pada 2015 dan memainkan peranan besar dalam pembangunan Blueprint Pusat Teknologi Global Cyberjaya dan pelaksanaannya. Antara projek transformasi teknologi dan digital penting di bawah seliaan beliau termasuklah Majlis Inovasi Bandar (City Innovation Council) yang dipertanggung jawabkan untuk melaksanakan fungsi Bandar Pintar termasuk program Cyberjaya Tanpa Tunai (cashless).

Mahadhir telah mempengerusikan pelbagai jawatankuasa strategik dengan memberi fokus kepada pembangunan dan peraturan berkaitan Teknologi Masa Depan Malaysia, termasuk sebagai Panel Penasihat Kawal Selia Sandbox Negara (NRS). Mahadhir juga terlibat dalam pelbagai jawatankuasa termasuklah Makmal Teknologi Inovasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Panel Peraturan Industry4WRD Malaysia di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Di peringkat antarabangsa, Mahadhir telah mewakili Malaysia di Forum Ekonomi Krasnoyarsk (2015 – Forum Ekonomi Dunia cawangan Russia), Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia (2016–2018) di Barcelona (di mana beliau diperakui sebagai antara peneraju inisiatif bandar pintar dunia), Forum Transformasi Global (2017) dan Forum Urban Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (2018), yang kemudiannya menyaksikan beliau dijemput sebagai ahli panel Makmal Teknologi Inovasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Mahadhir juga amat komited dalam pembangunan komuniti dan masyarakat secara amnya. Beliau telah menyumbang tenaga secara pro-bono untuk Institut Pengurusan Projek (PMI), di mana beliau merupakan Penyemak dan Penyumbang Kandungan Buku Projek Pengurusan Body of Knowledge (PMBOK). Buku berkenaan berperanan untuk memberi garis panduan kepada semua pengurus projek yang diiktiraf PMI (Pengurusan Projek Profesional – PMP) di seluruh dunia.

Beliau juga aktif dalam sistem pendidikan Malaysia di peringkat universiti dan sekolah menengah, merangkumi kerja-kerja kesukarelawanan hingga ke kesenian dan STEM. Mahadhir merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Lakehead University dengan Minor dalam Perniagaan dan beliau berdaftar sebagai ahli teknologis dengan Malaysia Board of Technologists (MBOT).
#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC menetapkan sasaran untuk mengintegrasikan negara dengan teknologi, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan sama rata kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan, selaras dengan agenda Malaysia 5.0.
Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Dashika Gnaneswaran – [email protected]

Simon Yap – [email protected]