12.01.2022
Kategori: industry, investors

KKMM, MDEC Lancar Minggu Digital Ekonomi Malaysia di Ekspo Dubai 2020

CYBERJAYA, MALAYSIA, 12 JANUARY 2022 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, telah melancarkan Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo Dubai 2020.

Berlangsung dari 9 hingga 15 Januari 2022 di Pavilion Malaysia di ekspo dunia, Minggu Ekonomi Digital dijangka menjana potensi peluang perdagangan dan pelaburan bernilai RM300 juta selain menarik 50 perniagaan berpotensi dari seluruh dunia.

Minggu Ekonomi Digital di Ekspo Dubai 2020 turut melibatkan prapelancaran Malaysia Digital iaitu program yang telah ditambahbaik bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah beroperasi sejak 25 tahun lalu. Inisiatif baharu dah ditambah baik ini akan berperanan untuk memacu ekonomi digital Malaysia dan akan mewujudkan limpahan ekonomi digital yang besar melalui akses saksama kepada peralatan, pengetahuan dan peluang pendapatan berasaskan digital

Malaysia Digital juga dijangka meningkatkan nilai sasaran Malaysia untuk menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja baharu yang berteraskan kepada tiga komponen utama iaitu Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan.

“Pengumuman Malaysia Digital di Ekspo Dubai 2020 dilaksanakan pada waktu yang tepat dan relevan, di mana penambahbaikan proses dan insentif amat penting untuk memacu pemulihan ekonomi Malaysia ketika kita sedang keluar dari pandemik COVID-19. Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), penambahbaikan Malaysia Digital akan menjadi kunci untuk kita mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang menyasarkan pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025,” kata YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Haji Annuar bin Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malaysia Digital menawarkan ketangkasan kepada syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan pilhan dan fleksibiliti kepada syarikat untuk memilih sama ada insentif fiskal dan/atau bukan fiskal yang kompetitif.

Ia juga dirancang untuk berkembang melangkaui lokasi yang ditetapkan ke dalam inisiatif di seluruh negara, menyediakan lebih fleksibiliti dan peluang kepada syarikat untuk tumbuh, berkembang atau melabur semula di mana sahaja di Malaysia. Akhir sekali, dengan kekal relevan dalam memacu Ekonomi Digital Malaysia, Malaysia Digital akan menawarkan tadbir urus dan proses yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelbagai industri dengan pantas.

Rangka kerja Malaysia Digital akan menyaksikan – antara lain penambahbaikannya – penyegaran semula Bil Jaminan, insentif tidak berasaskan lokasi dan pengembangan lokasi untuk aktiviti yang dipromosikan MSC.

Menerusi inisiatif Malaysia Digital, Kerajaan dan MDEC turut memperkenalkan dua projek pemangkin iaitu DE Rantau dan Malaysia Digital Trade.

Program DE Rantau bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Digital Nomad pilihan dalam usaha untuk melonjakkan adaptasi digital serta mempromosikan mobiliti profesional digital dan pelancongan di seluruh negara.

Malaysia Digital Trade, merupakan insentif pemangkin di bawah Malaysia Digital untuk memanfaatkan peluang besar yang terdapat dalam pendigitalan yang telah berkembang pesat disebabkan pandemik COVID-19 baru-baru ini. Inisiatif Malaysia Digital Trade akan memacu keboleh saling operasi dan penyelarasan yang lebih baik bagi standard dan pendekatan kawal selia, serta memudahkan perdagangan di dalam dan merentasi sempadan.

“Projek baharu ini dijana oleh misi MDEC untuk memacu ekonomi digital menerusi insentif pemangkin dan berimpak serta pelaburan strategik, mampan dan dasar yang inklusif. Malaysia Digital akan melonjakkan ekonomi digital ke tahap lebih tinggi selain memupuk ekonomi digital yang progresif, saksama dan dipacu inovasi selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG),” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

“Selama 25 tahun, MDEC telah menjadi teras pembangunan ekonomi digital Malaysia, mengembangkannya daripada sifar sehingga menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada KDNK negara. Evolusi teknologi digital yang berterusan bermakna kita juga mesti berkembang mengikut peredaran zaman. MDEC kini sedang melaksanakan inisiatif transformasi untuk mengukuhkan prestasi dan kecekapan organisasi kami untuk memastikan inovasi dan produktiviti pekerja yang lebih tinggi, dan berusaha ke arah matlamat strategik. Pada masa yang sama, amat penting bagi kami untuk memastikan keberkesanan dan kerelevanan yang sama kepada rakyat dan industri melalui Malaysia Digital, serta kepada perancangan masa depan kami,” katanya.

Minggu Ekonomi Digital adalah sebahagian daripada 26 program perdagangan dan perniagaan tematik mingguan yang dianjurkan oleh Pavilion Malaysia untuk Ekspo Dubai 2020. Penyertaan Malaysia dalam ekspo dunia itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, sebagai agensi pelaksana.

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]