29.04.2022
Kategori: industry, investors

PEMBINAAN KAMPUS PUSAT DATA BERSKALA BESAR DI JOHOR

NUSAJAYA, 29 APRIL 2022 – GDS Holdings Ltd, peneraju pembangun dan pusat data berprestasi tinggi di China, mengumumkan pembinaan kampus pusat data berskala besar di Nusajaya, Johor.

Pembangunan projek ini telah mendapat sokongan dari Pejabat Pelaburan Digital (DIO) iaitu inisiatif kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Selaras dengan peranan DIO iaitu mempermudah pelaburan ke Malaysia dengan menggabungkan kelebihan MIDA di peringkat global dan MDEC, selaku agensi yang pakar dalam ekosistem ekonomi digital, DIO telah bekerjasama rapat dengan GDS Holdings untuk Permohonan Maklumat (RFI) semasa projek berkenaan masih di peringkat perancangan serta menyediakan sokongan bagi memastikan pelaksanaan projek ini berjalan dengan lancar di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, kehadiran GDS Holdings di Malaysia dan pembinaan pusat data berskala besar di Nusajaya akan memberi sumbangan yang amat besar kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia.

“Pusat digital baharu berkenaan membuktikan daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan pusat data, selaras dengan aspirasi di bawah inisiatif Malaysia Digital. Ia turut membawa keupayaan infrastruktur bertaraf dunia yang seterusnya akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Invest Johor dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPNEJ) atas sokongan dan bantuan dalam menjayakan projek ini kerana dalam usaha membina ekonomi dan infrastruktur digital yang berkembang pesat, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak di seluruh negara dan MDEC akan terus memacu lebih banyak kerjasama membangunkan lagi industri pusat data negara,” tambah Mahadhir.

Manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pelaburan, MIDA, Lim Bee Vian, turut memuji pelaburan GDS Holdings di Malaysia.

“Malaysia amat bertuah kerana dapat menempatkan pusat data GDS Holdings yang merupakan infrastruktur utama dalam mentransformasikan Malaysia ke arah negara digital dan pemodenan perniagaan. MIDA menerusi DIO akan terus berusaha mentransformasikan kluster ekonomi baharu dan sedia ada serta mempermudah pelaburan rakan strategik seperti GDS Holdings. Pelaburan ini akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja serta perniagaan tempatan,” kata Lim.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi berkata, projek berkenaan akan berperanan sebagai pemangkin khususnya kepada Johor dan Malaysia amnya, untuk menjadi hab pusat data. Ia juga akan merangsang pembangunan syarikat perkhidmatan pengkomputeran awam tempatan selain membantu mewujudkan peluang pekerjaan, yang menjadi antara agenda utama negeri Johor.

“Johor mengalu-alukan kehadiran GDS Holdings dan pusat data berskala besar yang amat tepat pada masanya dan ini menjadi bukti bahawa Johor menjadi tarikan utama sebagai destinasi pelaburan tempatan dan antarabangsa kerana disokong oleh infrastruktur dan gaya hidup bertaraf dunia, serta kestabilan negeri ini. Saya berharap agar projek ini menjadi perintis kepada lebih banyak lagi pelaburan yang akan dilaksanakan di Johor,” jelas beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif GDS Holdings, William Huang, berkata Malaysia merupakan negara terbaik untuk memulakan perancangan utama dalam pelan peluasan serantaunya, dengan lokasi strategik yang lengkap dengan infrastruktur berkelas dunia serta akses kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berbilang bangsa serta bahasa yang ditawarkan Malaysia.

“Faktor-faktor berkenaan, termasuklah kedudukan Nusajaya yang hampir dengan Johor Bahru dan Singapura, akan menjadi platform terbaik untuk pelanggan GDS Holdings sedia ada, yang ingin berkembang di rantau ini. Kami juga ingin berterima kasih kepada ekosistem Malaysia yang mantap dalam menyokong kehadiran kami di sini,” kata Huang lagi.

Majlis pecah tanah telah diadakan pada 24 April 2022 yang menandakan bermulanya pembinaan Fasa 1 kampus pusat data berskala besar GDS Holding yang dijangka selesai menjelang tahun 2024 selain menjadi bukti komitmen jangka panjang syarikat berpangkalan di Shanghai tersebut di Malaysia dan Asia Tenggara serta turut melibatkan potensi pembangunan Fasa 2 kampus tersebut.

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)