21.12.2021
Kategori:

Ekspo 2020 Dubai: Temui Syarikat Animasi Mewakili Malaysia di Peringkat Dunia

  • Sebahagian daripada delegasi Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, empat syarikat animasi Malaysia – Monsta, Durioo, Zappy Production dan The R&D Studio – akan mempamerkan hasil kreativiti mereka di peringkat dunia

 

Bermula 9 hingga 15 Januari 2022, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, akan mengetuai delegasi melibatkan 20 buah syarikat tempatan ke Ekspo 2020 Dubai sempena Minggu Ekonomi Digital Malaysia.

Delegasi berkenaan akan melibatkan syarikat daripada industri Kandungan Kreatif Digital Malaysia yang sedang berkembang pesat, dan akan mewakili negara di peringkat dunia semasa Minggu Ekonomi Digital di Pavilion Malaysia di ekspo berkenaan.

Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai menyasarkan potensi perdagangan dan peluang pelaburan sebanyak RM300 juta, selain memeterai 50 perjanjian perniagaan dan pelbagai perjanjian kerjasama.

Objektif Minggu Ekonomi Digital ialah untuk menerokai peluang kerjasama dan perniagaan dalam bidang baharu di Timur Tengah menerusi Dubai selain daripada potensi kerjasama dengan 192 negara yang terlibat.

“Industri Kandungan Kreatif Digital merupakan sektor penting kepada Malaysia. Menerusi inisiatif seperti Geran Kandungan Kreatif, MDEC telah membantu memupuk industri berkenaan sehingga mencapai nilai RM7 bilion.

“Ekspo 2020 Dubai membuka peluang bagi kami mempamerkan pencipta kandungan kreatif digital tempatan di peringkat dunia, selaras dengan inisiatif Hab Digital untuk ASEAN MDEC dan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif digital. Ini merangkumi strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5), yang bermatlamat untuk membawa pelaburan bernilai RM50 bilion dalam tempoh lima tahun,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

Mari mengetahui lebih lanjut tentang syarikat animasi yang mewakili Malaysia di peringkat dunia.

 

Monsta (Animonsta Studios)

Monsta bukan setakat studio animasi. Ditubuhkan pada 2009, Monsta telah berjaya mengembangkan IP Boboiboy secara menyeluruh, merangkumi pelbagai platform selain memberi fokus kepada perlesenan dan barangan dagangan. Siri animasinya kini telah ditonton di lebih 70 buah negara di seluruh dunia, dengan saluran YouTube telah mencapai lebih 20 juta langganan.

Lebih dikenali sebagai syarikat perniagaan karakter dan pemboleh IP, studio berkenaan telah mengembangkan IP mereka, termasuk Papa Pipi, Fly with Yahya, dan yang akan datang iaitu Mechamato.

Mechamato akan disiarkan menerusi dua strategi unik. Pertama, studio berkenaan akan melancarkan siri tersebut di Cartoon Network pada 4 Disember, merangkumi 23 negara di Asia Pasifik termasuk Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Kedua, siri berkenaan akan diedarkan di beberapa kawasan fokus di Amerika Syarikat dan Eropah menerusi kerjasama strategik dengan Jetpack Distribution.

 

Durioo

Durioo telah ditubuhkan pada tahun 2021 oleh pengasas dan ahli kreatif daripada Digital Durian, iaitu pengeluar siri kartun popular Omar & Hana dan Didi & Friends yang kedua-duanya mencatat lebih 8 bilion tontonan dan 10 juta langganan di YouTube. Siri berkenaan telah dialih bahasa kepada 10 bahasa dan ditayangkan di lebih 25 buah negara kepada jutaan kanak-kanak di seluruh dunia.

Pencapaian siri berkenaan sangat memberangsangkan. Didi & Friends telah memenangi Asia’s #1 Preschool Programme di Asian Television Awards 2019, manakala Omar & Hana mencatatkan hit tinggi di peringkat dunia – 35 peratus penonton daripada saluran YouTube Bahasa Inggeris terdiri daripada penonton dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pada tahun 2021, Durioo akan melancarkan dua Durioo Originals – Durioo Games dan Durioo+.

Durioo diinspirasikan untuk menjadi platform kepada kanak-kanak Muslim di seluruh dunia, menerokai pasaran 430 juta kanak-kanak Muslim. Ia menyasarkan untuk mencipta kartun Islamik bernilai tinggi dan permainan mesra kanak-kanak, di bawah jenama Durioo Games dan Durioo+.

 

Zappy Production

Ditubuhkan pada tahun 2015, perjalanan Zappy Production bermula sebagai studio animasi grafik. Selepas 6 tahun berada dalam industri periklanan dan pemasaran, mereka mula bergerak kepada agensi pengeluaran kreatif pelbagai disiplin yang seterunya berkembang kepada pelbagai perkhidmatan seperti realiti terimbuh (augmented reality), acara maya, platform dalam talian dan pelbagai multimedia interaktif.

Sejak 6 tahun lalu, mereka telah menawarkan khidmat kepada pelbagai pelanggan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sehingga syarikat multinasional seperti PETRONAS, Shell, Pico dan Amway.

Sejak pandemik, syarikat berkenaan telah mengembangkan sayapnya dan menubuhkan syarikat baharu iaitu Green Robot Studio yang memiliki pelanggan perniagaan seperti Sky Horse Creative dan BLWN.

Salah satu pencapaian utama studio berkenaan adalah mencipta teknologi dalam empat acara dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkannya secara rasmi.

Selain itu, Zappy Production menghasilkan visual pelancaran acara pembukaan untuk Sukan Sea KL 2017 selain unjuran pemetaan kandungan untuk acara berkenaan.

Visi Zappy adalah untuk memecahkan sempadan seni dan teknologi serta berkembang ke negara seperti Singapore, Australia dan Emiriah Arab Bersatu. Mereka akan terus komited untuk mencipta pemasaran di luar kotak untuk menarik perhatian penononton di seluruh dunia. 

 

The R&D Studio

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti MDEC di Ekspo 2020 Dubai, sila layari www.heartofdigitalasean.my.

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

 

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]