08.03.2022
Kategori: industry, investors

EKSPO 2020 DUBAI MENJANA INOVASI DAN PERTUMBUHAN EKONOMI DIGITAL ISLAM MALAYSIA

CYBERJAYA, 8 MAC 2022 – Syarikat pemula teknologi Malaysia, Freya Capital Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National Bonds dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu syarikat pegangan saham bersama persendirian di bawah Investment Corporation of Dubai, sebuah cabang pelaburan kerajaan Dubai.

Objektif perjanjian ini adalah untuk memupuk pertumbuhan ekonomi digital Islam di Malaysia dan Asia Tenggara serta membuka ruang kepada sebarang kerjasama dengan pihak kawal selia, institusi kewangan dan syarikat-syarikat.

Perjanjian ini juga bertujuan meningkatkan pertumbuhan platform penyelesaian sukuk perdagangan Al Manassah di Malaysia dan Asia Tenggara. Al Manassah ialah alat pelaburan digital milik National Bonds yang boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus institusi kewangan di rantau ini. Ia berfungsi untuk menangani jurang dalam produk kewangan patuh Syariah yang selamat dan mesra pengguna dalam lingkungan pasaran kewangan Islam.

Penyelesaian yang berasaskan teknologi berkenaan mematuhi garis panduan kewangan Islam dan menyokong pengurusan aliran tunai melalui portal yang cekap kepada institusi Kerajaan dan institusi kewangan yang berpotensi di rantau ini.

“Kerjasama National Bonds-Freya ini merupakan gabungan yang mantap serta membawa sekali kemahiran yang mendalam dalam strategi perniagaan dan teknologi. Kami yakin bahawa kerjasama ini akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara dengan meningkatkan dan menambah baik akses kepada kewangan dan kecekapan pasaran,” kata Amelia Tan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Freya Capital.

Perjanjian berkenaan juga bermatlamat untuk membuka jalan bagi sebarang usaha sama pada masa hadapan dan meluaskan perniagaan di peringkat global bagi kedua-dua entiti. MoU ini telah ditandatangani semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dari 9 hingga 15 Januari 2022.

Freya Capital merupakan sebahagian daripada 22 delegasi syarikat teknologi Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.

“MDEC amat berbangga dan menyokong kerjasama antara Freya Capital dan National Bonds. Kerjasama ini sudah pasti akan menggalakkan inovasi dan pertumbuhan sektor teknologi kewangan Islam di Malaysia dan seterusnya meningkatkan status Malaysia sebagai hab digital ASEAN. Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana dua kuasa besar ini akan mengubah ekonomi digital Islam di rantau ini.

“Ekonomi digital Malaysia bukan sahaja bergantung kepada teknologi yang kami hasilkan, malah menerusi kerjasama yang terjalin untuk membawa pengetahuan yang akan dikongsi ke seluruh dunia. Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah memainkan peranan untuk mewujudkan interaksi bermakna yang akan membawa keterangkuman dan kemakmuran bersama kepada rakyat,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM1.295 bilion ke Malaysia. Ini dipacu oleh 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 MoU dalam kalangan 22 syarikat teknologi Malaysia dan peserta global yang terlibat di ekspo berkenaan.

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Strategik, Hal Ehwal Korporat, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi ekonomi digitak sejak 25 tahun lalu. Kami menyasarkan untuk membolehkan ekonomi digital yang progresif dan dipacu inovasi.

MDEC juga akan terus menerajui Malaysia ke arah menjadi negara digital yang kompetitif di peringkat global menerusi pembangunan dan pelaksanaan Malaysia Digital yang bermatlamat untuk mewujudkan limpahan ekonomi digital yang bernilai tinggi menerusi akses yang saksama kepada alatan, pengetahuan dan peluang pendapatan digital.

Berdasarkan rangka kerja baharu yang dibina di atas tiga komponen utama – Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan – Malaysia Digital dirangka untuk meningkatkan cadangan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

#SayaDigital #MalaysiaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]