11.10.2021
Kategori: industry, investors

Double Eleven Mengukuhkan Operasi di Malaysia dengan Membina Pejabat Baharu di Kuala Lumpur

  • Pembangun permainan dan penerbit British yang pernah memenangi anugerah akan melabur sebanyak £1 juta untuk mengembangkan operasi di Malaysia dan merancang meningkatkan bilangan pekerja kepada lebih 100 orang
  • Pengembangan Double Eleven di Malaysia telah mendapat sokongan penuh dari Malaysia Digital Economy Corporation

 

CYBERJAYA, 11 OKTOBER 2021: Studio pembangun permainan video British, Double Eleven telah mengumumkan perancangan untuk mengembangkan operasinya di Kuala Lumpur.

Pembangun dan penerbit permainan serta pemenang anugerah yang beribu pejabat di Middlesbrough berkenaan, akan melabur sebanyak £1 juta (dianggarkan RM5.68 juta) untuk pejabat baharu di Kuala Lumpur dan merancang untuk meningkatkan bilangan pekerja serantau kepada lebih 100 orang.

Dilancarkan pada 2009, Double Eleven telah bekerjasama dengan beberapa buah syarikat permainan video terbesar dunia dan juga gergasi teknologi global seperti Microsoft. Judul yang laris terjual yang dibangunkan oleh mereka termasuk Rust: Console Edition, Minecraft Dungeons, LEGO Harry Potter, Goat Simulator, Prison Architect dan Crackdown 3.

Syarikat berkenaan telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu, bermula dengan 80 orang pekerja pada 2019 sehingga memiliki 200 orang pekerja pada tahun lalu. Pada 21 Januari 2020, mereka telah mengumumkan pembukaan studio mereka di Kuala Lumpur.

Menurut Lee Hutchinson, Pengasas Double Eleven, syarikat berkenaan memilih untuk membuka operasi kedua mereka di Malaysia adalah berikutan akses kepada bakat yang berkaliber dan ekosistem yang mantap antara kerajaan, universiti dan perniagaan.

“Memiliki aspirasi, bakat dan persekitaran perniagaan yang luas, Malaysia ialah pilihan yang jelas kepada kami untuk berkembang di Asia dan kami komited untuk membina studio berkelas dunia di sini. Hasil perbincangan dengan pekerja, kami memilih Kuala Lumpur sebagai rumah kami untuk masa depan, di mana kami akan membina tempat bekerja yang unik serta mesra pekerja dengan infrastruktur yang canggih. Pelaburan kami dalam rekaan dan pembangunan premis baharu menggambarkan impian kami untuk menjadi lokasi bekerja yang terbaik dan selaras dengan nilai kami: kemanusiaan, cita-cita dan integriti,” kata beliau.

Ketika ini, mereka mengupah 25 orang pekerja  di Malaysia dan telah berkembang melebihi kapasiti ruang kerja bersama mereka yang  berkeluasan 1,000 kaki persegi. Double Eleven telah memperoleh ruang kerja seluas 12,500 kaki persegi di Mid Valley Mega Mall Towers untuk menempatkan lebih 110 orang pekerja untuk tempoh dua hingga tiga tahun.

Pasukan di Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan pasukan utama Double Eleven untuk memperoleh pengalaman dan seterusnya mereka boleh menguruskan projek sendiri pada masa depan. Ketika ini, aktiviti utama studio di Malaysia ialah fokus kepada penyediaan perkhidmatan pembangunan permainan seperti sokongan jaminan kualiti, pengekodan, seni dan rekaan.

Pengembangan Double Eleven di Malaysia telah mendapat sokongan penuh dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara. MDEC telah membantu Double Eleven memasuki pasaran negara pada 2017, termasuklah membantu penubuhan Double Eleven Malaysia Sdn Bhd pada 2018 dan meluluskan permohonan status MSC syarikat berkenaan pada 2020.

MDEC juga menghubungkan Double Eleven kepada pelbagai kolej dan universiti di Malaysia yang terlibat dalam pembangunan permainan, termasuklah The One Academy, UOW Malaysia KDU dan Asia Pacific University (APU).

Selain itu, MDEC juga memudahkan peluang kerjasama, perkongsian dan penyumberan luar antara Double Eleven dan studio pembangunan permainan tempatan seperti Passion Republic, Lemon Sky Studios, Streamline Studios dan pembangun persendirian lain.

Terbaharu, Double Eleven telah menyertai Persidangan Industri LEVEL UP KL 2021 sebagai panel jemputan.

“MDEC sangat berbangga dan menyokong usaha pengembangan Double Eleven di Malaysia serta memuji usaha mereka untuk terus melabur di negara ini. Kehadiran mereka di Malaysia bukan sahaja berfungsi sebagai petanda keyakinan berterusan dengan Malaysia sebagai hab penciptaan kandungan digital, tetapi juga dalam memupuk bakat pembangunan permainan Malaysia pada masa depan.

“Pertumbuhan Double Eleven di Malaysia merupakan langkah ke hadapan MDEC dalam strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5) untuk menarik pelaburan sebanyak RM50 bilion dalam ekonomi digital dan mencipta 50,000 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi. Ini selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju kandungan digital di pasaran serantau, termasuk mencipta 200 IP menjelang 2025. Kami mengucapkan terima kasih kepada Double Eleven atas sokongan mereka kepada perjalanan kami untuk menjadi Nadi Digital ASEAN,” kata Gopi Ganesalingam, Ketua Pegawai Industri Digital (CDIO), MDEC.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Kami menetapkan sasaran untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Digital ScaleUps) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]