01.12.2021
Kategori: industry, investors, people

Datuk Seri Sr. Haji Md Alwi Dilantik sebagai Pengerusi MDEC

CYBERJAYA, 1 Disember 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, hari ini mengumumkan pelantikan YB Datuk Seri Sr. Haji Md Alwi bin Haji Che Ahmad sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa 1 Disember 2021, bagi tempoh dua tahun.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Kelantan, Datuk Seri Sr. Haji Md Alwi sebelum ini, telah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan. Beliau  pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1992 dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia dari 1993 hingga 1999, sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri dari 2007 hingga 2009.

Sebelum berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh dari 2004 hingga 2008. Sebagai antara tokoh penting dalam membasmi kemiskinan, beliau telah memainkan peranan sebagai Pengerusi Yayasan Kemiskinan Kelantan sejak 1993.

Datuk Seri Sr. Haji Md Alwi juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Silver Ridge Berhad dari 2004 hingga 2008, Syarikat Permodalan Risda Berhad dari 2006 hingga 2016 dan Lembaga Kemajuan Pertanian KEMUBU (KADA) dari 2014 hingga 2018. Beliau ketika ini adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2020.

Berpengalaman sebagai juruukur tanah berlesen profesional, Datuk Seri Sr. Haji Md Alwi juga merupakan Prinsipal Firma Perundingan AA Geomatics and Survey dan Felo Institut Juruukur Malaysia.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Tinjauan & Pemetaan) dari Western Australian Institute of Technology Perth (kini Curtin University) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM); selain latihan profesional dalam Hydrography and Seabed Mappings, Motorised Levellings, dan Lidar Surveys and Mapping, masing-masing di Kanada, Sweden, Amerika Syarikat dan China.

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]