19.03.2021
Kategori: 2021, industry, investors

MDEC Buka Pendaftaran Permohonan Geran PRISMA Sehingga RM50 000 Untuk Membantu Industri Kandungan Kreatif

  • Geran BATIK Digital dan DCG PRISMA masing-masing akan menawarkan bantuan sehingga RM40,000 dan RM50,000
  • Program untuk industri kandungan kreatif digital oleh MDEC akan dikemaskini untuk meningkatkan pertumbuhan industri ketika keadaan ekonomi kini yang tidak menentu
  • PRISMA yang diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk menyokong lebih daripada 9,000 pemain industri kreatif

Cyberjaya, 20 Mac 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan telah mengemas kini lima program utama yang akan memanfaatkan industri kandungan kreatif susulan pelancaran Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) baru-baru ini oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan Multimedia (KKMM). Secara keseluruhan, pakej di bawah PRISMA bernilai RM89.2 juta diperkenalkan untuk memastikan kelangsungan perniagaan serta kelestarian 9,000 pemain industri berkenaan di Malaysia. PRISMA merupakan inisiatif KKMM yang memberi tumpuan kepada tiga strategi utama bagi memudahkan pembiayaan untuk pengeluaran kandungan kreatif digital, membolehkan pengembangan keupayaan dan kemahiran perniagaan dan menyediakan akses pasaran untuk harta intelek (IP). Berdasarkan peruntukan RM89.2 juta oleh KKMM untuk 32 program di bawah kesemua agensinya, sejumlah RM7 juta akan digunakan untuk mengemaskini dan mengembangkan lima program dilaksanakan MDEC bagi menyokong dan mengubah sektor kandungan kreatif digital.

Pengembangan ini akan dilakukan secara berperingkat sehingga Jun tahun ini melalui Bahagian Kandungan Kreatif Digitalnya, di bawah bahagian Perniagaan Bertenaga Digital untuk memacu pengembangan bakat dan memberikan bantuan kewangan bagi sektor ini yang berpotensi mencatatkan pertumbuhan tinggi. Platform ini merangkumi:

  • Akses Pasaran Kandungan Kreatif Digital dan Pemadanan Perniagaan (2P)
  • Pembangunan Perusahaan Kandungan Digital (EDP)
  • Penstriman Kandungan Kreatif
  • Sokongan Infrastruktur Teknologi Kandungan Digital (BATIK Digital)
  • Pemberian Kandungan Digital PRISMA (DCG PRISMA)

Sejajar dengan pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) baru-baru ini yang menyasarkan untuk mewujudkan 500 000 pekerjaan dan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui ekonomi digital menjelang 2025, inisiatif PRISMA juga merupakan suntikan langsung ke arah merealisasikan beberapa matlamat MyDIGITAL membabitkan penghasilan 200 IP. Ini termasuklah animasi dan permainan yang dijangka mampu mencapai kadar pertumbuhan tahunan 8% bagi eksport kandungan digital. Seterusnya ia turut menyasarkan untuk negara berada pada kelompok 20 terbaik sektor Pengetahuan dan Teknologi di bawah Indeks Inovasi Global.

“Lima program yang dipimpin MDEC kini telah diselaraskan dengan PRISMA dan diperbaharui untuk memastikan supaya dapat terus memenuhi permintaan tenaga kerja digital yang semakin meningkat. Sebenarnya, program-program ini merupakan inisiatif utama industri kreatif dan membolehkan sektor animasi dan permainan digital tempatan terus berkembang. Menurut laporan MIDA Insights, sektor permainan digital negara menyumbang pendapatan sebanyak AS $ 100 juta pada 2018 dan akan mengalami pertumbuhan tahunan sebanyak 10.9 % sehingga 2023. Melalui sokongan kerajaan dengan pelancaran PRISMA, sektor kreatif digital akan dapat terus beroperasi serta menangani cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19. Akhirnya, ia akan mempercepatkan usaha mengukuhkan pertumbuhan sektor ini yang sangat berpotensi dan seterusnya meletakkan negara di landasan tepat untuk menjadi Nadi Digital ASEAN,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Kelima-lima program ini dibuka untuk pendaftaran dan syarikat-syarikat yang berminat boleh berbuat demikian di pautan http://mdec.my/prisma/. Pada masa ini, salah satu program iaitu 2P telah melibatkan perniagaan kandungan digital seperti animasi, permainan digital, media interaktif dan komik digital. 2P membuka peluang kepada studio pengembangan animasi, permainan dan kesan visual untuk berhubung dengan pembeli kandungan yang terdiri daripada penerbit serta rangkaian penyiaran dan penstriman terkemuka tempatan dan antarabangsa. Ini akan memanfaatkan platform yang diselenggara MDEC iaitu Virtual Buyer Flyer dan Virtual Business Mission untuk mendalami, melibatkan diri dan seterusnya membeli IP digital dan perkhidmatan pengeluaran Malaysia.

EDP pula fokus kepada pengembangan bakat membabitkan graduan baharu , tenaga kerja mahir dan pakar industri. Program ini diwujudkan untuk membantu perniagaan yang ingin meningkatkan kemahiran kakitangan sedia ada termasuk mengurangkan jurang kemahiran dalam industri kandungan kreatif digital.

Syarikat yang berminat untuk mendalami aliran digital boleh mendaftar untuk Program Penstriman Kandungan Kreatif.

Dua program lain di bawah PRISMA iaitu BATIK Digital dan DCG PRISMA pula menyediakan geran dan dana yang dapat mengembangkan bakat dan bantuan yang telah diberikan melalui EDP dan 2P. Syarikat kreatif yang memerlukan sokongan kewangan dalam bentuk geran atau transformasi infrastruktur juga digalakkan memohon PRISMA melalui MDEC. Program ini menetapkan tiga tarikh tutup yang berasingan manakala permohonan akan mula dibuka pada 15 April 2021 hingga 25 Mei 2021.

Kedua-dua geran masing-masing menawarkan jumlah sehingga RM40,000 dan RM50,000. Selain itu, dijangkakan tempoh permohonan akan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada syarikat -syarikat yang berminat supaya dapat melakukan persiapan dan tidak berdepan masalah apabila memohon kelak. Setiap tempoh waktu ditetapkan hanya dapat memproses 40 pemohonan dengan jumlah keseluruhan slot yang disediakan antara 200 hingga 250 bagi kedua-dua program ini.

“Program inisiatif Kandungan Kreatif Digital PRISMA oleh MDEC akan memberi perhatian segera kepada industri kreatif dan membolehkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan disalurkan kepada pemain industri yang terjejas akibat wabak COVID-19. Sektor ini merupakan industri yang berpotensi untuk mencatatkan pertumbuhan tinggi dan menjadi fokus utama di bawah MyDIGITAL. MDEC akan memberi khidmat terbaik bagi memastikan pemain industri ini dapat terus beroperasi dan berkembang serta memberi jaminan bahawa tidak ada golongan yang akan terpinggir ketika kita berusaha mencapai Malaysia 5.0, ” kata Pengerusi MDEC, YBhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff.

Pendaftaran untuk kelima-lima kini dibuka. Maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan dan tempoh masa program MDEC di bawah PRISMA, boleh didapati menerusi http://mdec.my/prisma manaka maklumat mengenai PRISMA boleh diakses menerusi https://www.kkmm.gov.my/awam/prisma.

Muat Turun PDF

– TAMAT –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan. Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC
sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan, sila hubungi :
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]