10.02.2021
Kategori: 2021, people

Guru Juara Digital MDEC guna TikTok dalam PdPR

Musim persekolahan tahun ini boleh dianggap sebagai ‘episod kedua’ bagi para pelajar di seluruh negara terlibat dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikut ancaman pandemik COVID-19 yang masih berlarutan sehingga kerajaan kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebahagian besar struktur PdPR melibatkan pembelajaran dalam talian. Lebih sebulan perlaksanaannya, pelbagai kisah tular mengenai pengalaman guru, para pelajar dan ibu-bapa tentang amalan norma baharu ini.

Ada sebilangan guru yang mengeluh kerana jumlah ‘kehadiran’ kurang memberangsangkan manakala terdapat juga ibu-bapa sering ‘memantau’ ketika guru melaksanakan tugas. Paling mencuri perhatian ialah tindakan nakal seorang pelajar di Kepong, Kuala Lumpur yang berkongsi pautan tidak sepatutnya ketika sesi PdPR berlangsung.

Berdasarkan situasi berkenaan, betapa kita memahami tugas guru menjadi semakin mencabar untuk memastikan fokus pelajar tidak terganggu disebabkan pelbagai isu yang timbul. Paling merisaukan sudah pasti persiapan dan keberkesanan PdPR bagi kumpulan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sebenarnya, jika kita bercakap tentang kaedah mahu menjadikan guru tempatan lebih kreatif dan peka terhadap teknologi digital, tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ‘membuat persiapan awal’ untuk membantu guru.

Pada 2019, MDEC menganjurkan program #CikguJuaraDigital untuk mencari guru yang boleh menjadi penanda aras berkaitan dengan teknologi pendidikan di Malaysia.

Salah seorang peserta, Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata, selepas program itu, beliau menyertai pula bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi itu berpotensi besar untuk membantu dalam proses pembelajaran.

“Oleh itu, saya mula menghasilkan akaun Tiktok pada Oktober 2020 dengan memuat naik kandungan video tentang nota subjek Sains. Ada ketikanya, saya turut merakamkan eksperimen ringkas untuk memudahkan pelajar memahami topik yang sedang dibincangkan,” katanya kepada wakil blog MDEC baru -baru ini.

Norhailmi yang mengajar subjek Sains bagi pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Jerlun, Kedah berkata, kaedah berkenaan sangat membantu kerana kandungan video berdurasi lebih pendek.

“Ini sekaligus menjimatkan kuota internet para pelajar berbanding mengikut tele pembelajaran yang mengambil masa lebih lama dan menyebabkan penggunaan data yang lebih tinggi. Bukan semua pelajar saya melanggan pelan internet secara bulanan kerana ada yang membeli data berdasarkan pakej harian,” katanya.

Menerusi akaun @cikguhailmi, beliau telah mengumpul lebih 11,000 pengikut dan memuatkan hampir 120 video setakat ini.

“Antara yang mendapat tontonan tertinggi ialah video berkaitan eksperimen tekanan iaitu lebih 268 000 orang manakala video berkaitan eksperimen Natrium telah diikuti oleh hampir 80 000 pemilik akaun TikTok,” katanya.

Semakan mendapati akaun pemilik guru yang pernah disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia anjuran Varkey Foundation itu mendapat lebih 113 700 tanda suka, setanding selebriti media sosial tempatan.

Bercerita lanjut, Norhailmi berkata, beliau mula menggunakan aplikasi Tiktok disebabkan oleh beberapa faktor.

“Saya mengesan pelajar mula tidak berminat untuk mengikuti PdPR ketika itu kerana motivasi mereka telah menurun. Oleh itu, penyelesaian segera diperlukan.

“Saya mengambil keputusan menggunakan TikTok kerana mempunyai pelbagai ciri menarik, segar, latar belakang lagu -lagu hits masa kini yang digemari golongan remaja dan faktor video pendek lebih memudahkan pelajar memahami topik,” katanya yang juga pernah menyertai program #MyDigitalMaker anjuran MDEC.

Sementara itu, seorang lagi guru, Ahmad Adham Berhaumidin turut berkongsi pengalaman menggunakan aplikasi media sosial dalam PdPR untuk memudahkan para pelajarnya.

Beliau yang mengajar subjek Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan empat dan lima di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor berkata, menerusi pengintegrasian maklumat yang dikongsi MDEC, telah membuka ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di kalangan guru.

“Ini dapat meningkatkan kecekapan PdPR. Saya tidak bergantung kepada satu jenis media sosial sahaja sebaliknya lebih pelbagai menerusi penggunaan Facebook, Youtube, blog dan juga Twitter,” katanya.
Ujar Ahmad Adham, akaun Youtubenya iaitu dehewaraspak kini telah diikuti hampir 1,500 pelayar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyelesaian masalah dalam subjek Matematik Tambahan.

“Saya turut menyediakan soalan -soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai bersama para pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, beliau yang merupakan Juara Cikgu Digital anjuran MDEC pada tahun lalu turut memberi pendapat supaya agensi ini dapat memperkenalkan bengkel pembinaan aplikasi untuk telefon pintar atau Android kerana golongan guru pastinya mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kandungan sesuai untuk menarik perhatian pelajar.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Kemahiran Digital dan Kerjaya Digital MDEC, Dr Sumitra Nair berkata, kumpulan guru yang dilatih MDEC mempunyai daya tahan, kreatif dan peka teknologi untuk memastikan para pelajar mereka tidak tertinggal di sebabkan situasi luar jangka yang sedang dihadapi ketika ini.

“Kumpulan Cikgu Juara Digital yang dilatih MDEC tidak menjadikan wabak COVID-19 sebagai halangan untuk mereka terus mendidik. Mereka juga tidak buntu teknologi sebaliknya terus belajar, memimpin dan berkongsi amalan terbaik serta mengharungi detik sukar bersama para pelajar.
“Guru-guru ini menjadi inspirasi bagi mereka yang bercita-cita untuk menyumbang lebih banyak terutamanya pada masa sukar ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di pautan ini https://mdec.my/mydigitalmaker/cikgu-juara-digital/

Muat turun PDF

-Tamat-

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara. Ditubuhkan pada 1996, mandat MDEC termasuk memacu penerapan mengguna pakai teknologi digital di kalangan rakyat, pembangunan bakat yang mampu memenuhi kehendak industri, merangka dasar-dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.

Untuk memastikan masa depan Malaysia menghadapi era digital terjamin, MDEC akan bersandarkan rekod prestasinya yang kukuh, kredibiliti di kalangan industri dan kepimpinan yang berpengalaman untuk mengaitkan, memangkinkan dan mengkomersialkan inisiatif- inisiatif digital yang bertujuan untuk menggiatkan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang dengan pesat dan mampan serta menjadikan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.

MDEC juga akan terus memacu pertumbuhan ekonomi digital berimpak tinggi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 dan mengukuhkan reputasi negara sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysia #DigitalvsCovid

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:

Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/
Twitter: @mymdec