01.10.2021
Kategori: industry, people

85 Peratus Syarikat di Malaysia Menyatakan Keperluan untuk Melengkapkan Pekerja Mereka dengan Kemahiran Digital

  • 48 Peratus syarikat di Malaysia telah mengadaptasi platform teknologi digital dalam operasi seharian pada 2021, berbanding hanya 19 peratus pada 2020
  • Syarikat beralih ke arah peningkatan kemahiran digital dari alat produktiviti digital kepada kemahiran digital yang lebih teknikal termasuk sains data, pemasaran digital, keselamatan siber dan pembangunan perisian

 

CYBERJAYA, 1 OKTOBER 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital, baru-baru ini telah melengkapkan Tinjauan Bakat Digital, yang menunjukkan syarikat-syarikat sedang mempercepatkan proses adaptasi teknologi digital dan menumpukan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran terhadap pekerja mereka dalam teknologi serta aplikasi digital.

Tinjauan Bakat Digital MDEC 2021 mendedahkan terdapat banyak syarikat telah mengadaptasi platform digital disebabkan pandemik. Menurut dapatan tinjauan berkenaan, 48 peratus syarikat di negara ini telah mengadaptasi platform digital dalam operasi seharian mereka pada tahun ini, berbanding hanya 19 peratus pada 2020.

Menerusi perubahan ini, 85 peratus syarikat yang ditinjau telah mengenal pasti keperluan untuk melatih semula pekerja mereka. Sejak beberapa tahun lalu, tumpuan telah bertukar daripada produktiviti digital dan pekerja berkemahiran jarak jauh kepada kemahiran teknikal seperti analisis data, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pemasaran digital dan pembangunan perisian.

Keputusan tinjauan berkenaan telah dikongsi semasa Meja Bulat CEO Bakat Digital MDEC yang berlangsung di acara Malaysia Tech Month. Sesi meja buat berkenaan melibatkan 25 orang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan syarikat teknologi tempatan dan multinasional serta persatuan industri seperti Persatuan ICT Nasional Malaysia (PIKOM), Persatuan Digital Malaysia dan Inisiatif Penyelidikan (SERI).

Pemimpin-pemimpin industri berkongsi pandangan bernilai mengenai persekitaran bakat digital tempatan. Berkenaan dengan pengambilan bakat digital, terdapat kata sepakat bahawa syarikat telah meningkatkan keutamaan mereka terhadap kemahiran berbanding kelayakan akademik.

Sebagai contoh, Francesca Chia, Pengasas Bersama GoGet, menyatakan bahawa syarikat cenderung untuk mengambil pekerja baharu dari akademi pengekodan atau pusat latihan berbanding graduan baharu dari universiti. Alejandro Kikuchi, Ketua Asia Workana juga berkongsi bahawa syarikat yang gagal memperoleh atau mengambil bakat yang berkelayakan, akan mengambil pekerja bebas freelancers, kontrak dan pekerja jarak jauh.

Ahli-ahli panel juga membincangkan mengenai kepentingan untuk memupuk sumber bakat masa depan dan mengenal pasti keperluan syarikat untuk mengambil tindakan lebih aktif dalam menyalurkan pandangan mereka kepada kurikulum dan pembelajaran berasaskan projek. 

Henrick Choo, Ketua Pegawai Eksekutif NTT MSC, menyatakan pertumbuhan gaji bakat digital jauh lebih tinggi berbanding bakat bukan digital selari dengan pertumbuhan tahap pengalaman mereka, walaupun gaji pada peringkat permulaan mungkin sama untuk bakat digital dan bukan digital.

Pemimpin industri juga melihat lebih banyak syarikat fokus kepada mobiliti pekerja dalaman, di mana pekerja telah dilatih semula dan ditukar peranan dalam organisasi. Stephanie Sitt, Ketua Pegawai Eksekutif 123RF Malaysia, menegaskan walaupun kemahiran digital amat penting, tetapi kemahiran pengurusan pekerja – jika tidak lebih – penting dalam peningkatan persekitaran pekerja jarak jauh.

“Selaras dengan visi MDEC untuk mencipta kemakmuran bersama di kalangan rakyat Malaysia, kami amat komited untuk memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital yang semakin berkembang. Oleh itu, Meja Bulat CEO Bakat Digital MDEC merupakan platform penting bagi memastikan penyelarasan usaha kami dengan keperluan industri,” kata Dr Sumitra Nair, Naib Presiden MDEC dan Ketua Kemahiran dan Pekerjaan Digital.

Sejak beberapa tahun lalu, bakat digital MDEC dan inisiatif yang inklusif telah memberi impak kepada lebih 3 juta rakyat Malaysia menerusi kemahiran digital dan peluang pendapatan. Ini merangkumi inisiatif seperti #MyDigitalMaker Movement, eUsahawan, Institusi Teknologi Digital Primer, Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital dan Let’s Learn Digital dan banyak lagi.

Kesan daripada COVID-19, kerajaan menerusi MDEC telah memperkenalkan inisiatif #MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) pada awal tahun ini untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran rakyat yang hilang pekerjaan untuk sektor pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital. Ini merupakan insentif penggajian dan latihan yang dijangka memberi manfaat kepada 6,000 rakyat Malaysia yang tidak bekerja

Ini merupakan kali kedua Meja Bulat CEO Bakat Digital MDEC dianjurkan sejak kali pertama pada 2019. Meja bulat pertama telah menjadi asas kepada inisiatif pembangunan bakat digital MDEC baru-baru ini, yang merangkumi Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital, MYWiT dan standard kurikulum  teknologi digital untuk institusi TVET.

Muat Turun PDF

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Kami menetapkan sasaran untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Digital ScaleUps) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]