
KUALA LUMPUR – MyBazar Malaysia Sdn. Bhd. (MyBazar) merancang untuk mencapai 900 penjual menjelang Julai 2018 berbanding 839 yang tersenarai dalam platform pasaran online sosial berfokuskan produk dan peniaga tempatan itu setakat ini.
Pengarah Pemasaran MyBazar, Aaliyah Soraya Darus berkata, sejak inisiatif Barangan Luar Biasa Eksklusif eUsahawan (Blee) dilancarkan pada Mac 2018, lebih 50 penjual dengan 350 transaksi jualan telah dicapai sehingga Mei lalu.
“Kami berharap untuk mencapai peningkatan perniagaan sebanyak 30 peratus sebulan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabat MyBazar dekat sini baru-baru ini.
MyBazar telah dilantik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menerajui Blee dengan fokus untuk mencungkil peluang pertumbuhan ekonomi digital dalam kalangan peniaga tempatan, khususnya perniagaan mikro yang merangkumi 72.5 peratus perniagaan di Malaysia.
Peringkat awal Blee membabitkan 500 peniaga yang menjual lebih 2,000 jenis produk yang turut merangkumi makanan dan minuman, produk penjagaan diri dan kecantikan, fesyen dan kraftangan.
MDEC sebelum ini meletakkan sasaran untuk mencapai 1,500 peniaga menyertai program berkenaan menjelang akhir 2018.
Aaliyah Soraya berkata, dengan tema Bazar Tempatan Dunia, platform berkenaan juga bertujuan memperluaskan lagi capaian perdagangan elektronik (e-Dagang) perniagaan mikro, perniagaan luar bandar serta usahawan-usahawan tempatan.
“Ini akan memacu pertumbuhan perniagaan terlibat, selain membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan produk-produk hasil tempatan yang berkualiti tinggi, eksklusif dan sukar ditemui di kedai-kedai biasa dengan lebih mudah,” ujarnya.
Beliau menambah, matlamat jangka panjang MyBazar adalah untuk membawakan jenama-jenama dan produk tulen tempatan tersebut ke seluruh negara.
Aaliyah Soraya menambah, usaha itu kemudian akan diperluaskan ke pasaran antarabangsa dengan menghubungkan aktiviti jualan dan pembelian merentasi sempadan antara negara-negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Balkan, Turki dan Afrika.
“Setelah menggiatkan usaha untuk menambah penglibatan perniagaan, fasa seterusnya adalah menjalankan promosi dan jualan secara lebih agresif agar orang ramai sedar akan kepelbagaian tawaran platform ini.
“Di samping itu, MyBazar juga akan membantu perniagaan-perniagaan terlibat untuk mempertingkatkan kapasiti, penjenamaan dan kualiti produk bagi memenuhi kehendak pasaran,” katanya.
Memberi contoh, ujar beliau, antara usaha yang dilakukan yang dilaksanakan pihaknya setakat ini adalah mengadakan Jerayawara Blee yang merupakan sebahagian daripada bootcamp eUsahawan di seluruh negara yang bermula di Pekan, Pahang dan Sepanggar, Sabah pada 25 April lalu.
“Kami akan menjelajah seluruh Malaysia untuk mengundang lebih banyak penglibatan usahawan sasar, di samping turut mencari produk-produk tempatan yang sesuai untuk diketengahkan di platform MyBazar,” katanya.