10.11.2024
| Digital Economy | lets-learn-digital | Rakyat
ALOR SETAR, KEDAH - 10 NOVEMBER 2024 - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), menganjurkan program Jelajah Saya Digital (JSD) di Aman Central, Alor Setar.
Program berlangsung selama dua hari, bermula pada 9 hingga 10 November dengan anggaran seramai 2,000 pengunjung diadakan bagi memberi pendedahan kepada rakyat tentang kemahiran literasi serta peluang yang boleh dimanfaatkan dalam dunia digital.
Program JSD merupakan lanjutan dari Kempen Saya Digital yang diperkenalkan pada tahun 2020, bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital bagi menghadapi cabaran ekonomi digital yang semakin berkembang pesat. Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Kedah untuk mewujudkan negeri berpendapatan tinggi dan maju melalui pembangunan ekonomi yang holistik menjelang 2035.
Selaras dengan hasrat Kementerian Digital yang memfokuskan tiga teras utama iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital, JSD menjadi platform untuk membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia. Inisiatif ini adalah sebahagian usaha kerajaan mendayaupayakan rakyat di samping mempromosikan penyelesaian gaya hidup pintar berasaskan teknologi digital. Seterusnya, menarik pelaburan bernilai tinggi secara langsung memajukan kehidupan pintar serta meningkatkan bilangan profesional mahir yang menekankan pada set kemahiran dalam era ini.
Program JSD menumpukan kepada empat teras utamanya iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya di mana ia memberi manfaat kepada golongan sasaran seperti B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). Dengan mengambil peluang yang ada, para peserta dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi digital negara.
Sejak JSD diperkenalkan pada tahun 2020, jumlah penyertaan telah mencapai 55,568 pesertamelalui acara fizikal dan dalam talian secara keseluruhan. Untuk tahun ini, MDEC telah mensasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi seluruh negara.
Menerusi JSD, MDEC juga telah melaksanakan beberapa program lain antaranya program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Dalam program eUsahawan, seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara, berjaya mencapai jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion. Dari jumlah itu, seramai 39,609 usahawan dari Kedah telah berjaya menyumbang lebih RM50.59 juta. Sementara itu, menerusi program MyDigitalMaker pula, ia telah memberi impak kepada lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan digital. Sejak diperkenalkan pada 2016, seramai 95,000 murid daripada 450 sekolah di Kedah telah terlibat secara langsung dalam program MyDigitalMaker melibatkan 110 sekolah di Alor Setar.
Di program JSD @ Alor Setar kali ini terdapat beberapa sesi perkongsian menarik yang memfokuskan kepada penggunaan media sosial dari sisi positif oleh selebriti dan pempengaruh Ajak Shiro. Selain itu, para usahawan PMKS berpeluang mempelajari panduan praktikal mengenai teknik gerak laju pemasaran digital dan penggunaan aplikasi TikTok untuk memprluaskan capaian serta meningkatkan hasil jualan.
Acara menarik lain termasuk siaran langsung program eSukan yang melibatkan lebih 300 penyertaan, di samping sesi perkongsian teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk pembelajaran yang lebih efektif. Memeriahkan program JSD ini ialah kehadiran Krew Era FM Cruiser bagi menambah semangat dan sokongan kepada pengunjung.
Majlis pelancaran JSD @ Alor Setar telah dirasmikan oleh YB Tuan Dr. Haim Hilman Bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, diiringi oleh YBrs. Tuan Shakib bin Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Pengurusan) Kementerian Digital; YBhg. Dato' Dr Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Digital Negeri Kedah; YBrs Encik Amiruddin Abdul Shukor, Ketua Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); serta YBrs Puan Balkhis Binti Abu Bakar, Pengarah Teknologi Maklumat & Komunikasi Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Rakan-rakan strategik MDEC yang terlibat dalam program ini termasuk Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri Kedah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), TM-Unifi Business, MIMOS Berhad (MyDigital ID), dan GigaBash turut mengadakan sesi perkongsian dalam pelbagai sesi di JSD @ Alor Setar.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai JSD dan pendaftaran, sila layari https://mdec.my/sayadigital.
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
-TAMAT-
Share this:
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), menganjurkan program Jelajah Saya Digital (JSD) di Aman Central, Alor Setar.