MDEC KOMITED MEMACU TRANSFORMASI DIGITAL DAN MEMPERKUKUH EKOSISTEM EKONOMI PERKONGSIAN

10.12.2024

| Digital Economy

CYBERJAYA, 10 Disember 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyambut baik keputusan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara (MED4IRN) pada 4 Disember 2024 yang telah meluluskan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Inisiatif ini merupakan “game-changer” yang akan memacu pendigitalan keseluruhan rantaian perniagaan dan mendaya upayakan PMKS ke arah meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi perniagaan sehingga 20% menjelang tahun 2030.

 

Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu ini merangkumi komponen-komponen penting seperti Penyatuan ID Perniagaan dan Penilaian Tahap Kematangan Digital yang bertujuan untuk memadankan solusi digital yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan masa kini serta melonjakkan tahap kematangan digital perniagaan tempatan.

 

Inisiatif ini merupakan komitmen kerajaan untuk mempercepat transformasi digital PMKS menjelang 2030, dengan sasaran 1.26 juta perniagaan mencapai tahap kematangan menggunakan teknologi digital yang komprehensif dan 292,000 perniagaan mencapai tahap kematangan pendigitalan menyeluruh dan menggunakan teknologi terkini. “Kebanyakan PMKS hanya menggunakan teknologi digital asas dalam urusan perniagaan. Inisiatif ini menyasarkan sekurang-kurangnya 80% PMKS akan menggunakan teknologi digital secara lebih komprehensif merentasi fungsi Front-, Middle- dan Back-Office,” jelas Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

 

Tambah beliau, “Melalui kolaborasi strategik dengan agensi-agensi seperti SME Corp, inisiatif ini telah dirancang dengan teliti untuk memastikan penyelarasan yang efektif dari aspek perancangan hingga ke pelaksanaan. Ini akan mempercepatkan lagi agenda transformasi pendigitalan perniagaan, sekaligus menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan inovatif. MDEC akan melaksanakan mandat dan amanah ini sebaik mungkin bagi memastikan usaha transformasi pendigitalan ini dapat digandakan dan dipercepatkan.”

 

Pada masa yang sama, MDEC turut menyambut baik keputusan MED4IRN yang telah bersetuju dengan Rangka Tindakan Ekonomi Perkongsian (RTEP) dan  penambahbaikan struktur tadbir urus Jawatankuasa Kebangsaan Ekonomi Perkongsian (JKEP) ke arah menjadikan Ekonomi Perkongsian sebagai pemacu utama ekonomi digital negara. JKEP akan dipengerusikan secara bersama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Digital serta diurusetiakan oleh MDEC.

 

Berdasarkan data SSM pada tahun 2021, saiz pasaran bagi 83 platform Ekonomi Perkongsian adalah mencecah RM3.6 billion. Sehingga Ogos 2024, terdapat lebih 230 platform berasaskan model Ekonomi Perkongsian yang telah beroperasi di Malaysia. Penambahbaikan JKEP ini dilihat penting untuk merebut peluang serta menangani cabaran dalam mengembangkan lagi potensi Ekonomi Perkongsian di Malaysia seperti perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih berfokus serta pembangunan dasar dan mekanisme perundangan yang lebih jelas.

 

Keahlian JKEP juga akan diperluaskan daripada 22 kepada 26 anggota yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi. Antara kementerian baharu yang dimasukkan ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berdasarkan kepentingan model Ekonomi Perkongsian dalam merealisasikan konsep Bandar Pintar (Smart City), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan aspek keselamatan dan kepentingan pengguna turut diberi perhatian.

 

MDEC komited untuk terus membangunkan ekonomi digital negara serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau, selaras dengan visi Ekonomi MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kemampanan, dan kemakmuran bersama.

 

-TAMAT-

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

Share this:

LATEST NEWS
RELATED NEWS