JELAJAH SAYA DIGITAL @ JOHOR BAHRU MENYANTUNI WARGA JOHOR BAGI MELAHIRKAN GENERASI CELIK DIGITAL

27.07.2024

JOHOR BAHRU, 27 Julai 2024 - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) bertempat di Angsana Mall, Johor Bahru, Johor, selama dua hari bermula 26 hingga 27 Julai dengan anggaran pengunjung seramai 2,000 orang.

 

Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi Maju Johor 2030 yang memastikan ekonomi negeri berdaya tahan demi kemakmuran rakyat Johor antaranya dengan transfomasi terhadap inisiatif digital, program JSD bertepatan dalam membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran digital mereka, di samping melahirkan lebih ramai generasi celik digital.

 

Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir tahun 2020 bagi membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran dunia digitalisasi. Inisiatif ini juga sebagai satu usaha dalam mendayaupayakan rakyat untuk menangani kos sara hidup melalui penggunaan platform digital.

 

Melalui kempen ini juga, ianya dijangka dapat mewujudkan kesedaran rakyat tempatan tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dengan memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar tanpa meninggalkan penduduk di luar bandar.

 

JSD adalah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu, Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil, dan sederhana.

 

Beberapa program disediakan oleh MDEC menerusi program JSD. Antaranya adalah program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Melalui program eUsahawan ini MDEC berjaya melatih seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion.


Setakat Jun 2024, program JSD ini telah menjelajahi ke 68 lokasi dan berjaya melatih seramai 27,154 peserta dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada akhir 2020 dan bagi tahun ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi.

 

Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk sesi perkongsian oleh MDEC dan rakan strategik, klinik literasi digital dan siber, sesi latihan, gerai pameran, serta aktiviti menarik lain seperti cabutan bertuah, dan pertandingan eSports. Hadirin turut menerima manfaat dari sesi perkongsian mengenai aplikasi robotik dan teknologi AI di dalam pendidikan serta tips keselamatan untuk mengelakkan penipuan di alam siber.

 

Acara JSD @ Johor Bahru telah dirasmikan bersama oleh YB Tuan Aznan Bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dan YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Rakan-rakan strategik MDEC untuk JSD @ Johor Bahru iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business dan PDRM yang turut sama mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini.

 

Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

Share this:

PRESS RELEASES

JOHOR BAHRU, 27 Julai 2024 - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) bertempat di Angsana Mall, Johor Bahru, Johor, selama dua hari bermula 26 hingga 27 Julai dengan anggaran pengunjung seramai 2,000 orang.

LATEST NEWS
RELATED NEWS